Polis Kota Samarahan periksa 55 kenderaan, tahan lelaki berkaitan dadah

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan kenderaan dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah di Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN, 8 Oktober: Polis memeriksa 55 kenderaan dan 60 individu dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi itu dijalankan dari 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam pada 8 Oktober, melibatkan 12 pegawai dan anggota polis.

Beliau berkata, operasi berkenaan merangkumi sekatan jalan raya, rondaan pencegahan jenayah di kawasan panas serta serbuan dan tangkapan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Sepanjang operasi, sebanyak 55 kenderaan dan 60 individu diperiksa, manakala tiga saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Polis turut menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Irwan Hafiz berkata, IPD Kota Samarahan akan terus mempergiat operasi pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha membanteras jenayah dan mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua.

Oleh Connie Chieng