SARIKEI: Tindakan pantas orang awam berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel di sebuah tapak perumahan sebelum kedua-duanya diserahkan kepada polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintenden Aswandy Anis, berkata pihak polis menerima maklumat berhubung tangkapan orang awam itu kira-kira 11.35 malam sebelum anggota peronda MPV SK 111 bergegas ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat tersebut, anggota peronda MPV SK 111 bergegas ke lokasi kejadian di tapak perumahan Jalan Pasi dan membuat tangkapan ke atas dua suspek lelaki berusia 23 dan 30 tahun.
“Pihak polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Iriz, dua guni yang mengandungi potongan kabel dan satu unit pisau pemotong yang dipercayai digunakan untuk memotong kabel,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemeriksaan dan siasatan awal di tapak perumahan tersebut turut menemukan kesan kabel yang telah dipotong dan disyaki dicuri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Oleh Earl Anek




