Tiga suspek kes curi kabel dikesan positif dadah

Facebook
WhatsApp
TIGA suspek yang ditahan ditahan oleh JSJ IPD Meradong dikesan positif dadah. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Tiga lelaki tempatan yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel di kawasan KJD, Bintangor, didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 22, 28 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, kira-kira 11.50 pagi baru-baru ini.

Katanya, tangkapan dibuat bagi membantu siasatan kes kecurian kabel di kawasan KJD berdasarkan laporan Bintangor Rpt: 1672/2026.

“Kesemua suspek kemudiannya menjalani saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Tansli, semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan jenayah atau dadah.

Bagaimanapun, dua lagi suspek masing-masing mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan berkaitan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.

“Saya menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.

Oleh Earl Anek