SARATOK: Sesi randau dan bersua muka bersama penduduk di Rumah David Lakon, Entebu, di sini semalam, menjadi platform penting bagi membincangkan pelbagai isu serta keperluan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sesi dialog secara bersemuka amat penting bagi membolehkan pandangan dan permasalahan penduduk didengar secara terus.
Menurutnya, pendekatan berkenaan turut membantu mengenal pasti isu yang memerlukan tindakan susulan supaya penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar dan berkesan.
“Pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk isu kemudahan asas seperti parit, tempat parkir, naik taraf jalan ban di tapak projek skim Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), bekalan elektrik serta isu sosial dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan itu turut melibatkan kepentingan penduduk di tiga buah rumah panjang di kawasan Entebu.
Katanya, setiap permasalahan yang dibangkitkan didengar dan diteliti bersama bagi membuka ruang mencari jalan penyelesaian yang lebih tersusun serta mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Melalui sesi randau ini, kita dapat memahami keadaan sebenar yang dihadapi penduduk dan seterusnya mencari pendekatan terbaik untuk menangani isu berkenaan,” katanya.
Mohamad Duri berkata, komunikasi serta kerjasama erat antara komuniti, wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan merupakan asas penting dalam memastikan setiap permasalahan dapat ditangani secara bersama.
Beliau berharap hasil perbincangan itu dapat membantu memperkemas tindakan susulan terhadap perkara yang dibangkitkan demi meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan Entebu.
Turut hadir ialah wakil Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA); wakil Jabatan Pertanian Saratok; Tuai Rumah David, Tuai Rumah Bangsa dan Tuai Rumah Anau serta bekas Tuai Rumah Ambang dan Tuai Rumah Lakon.
Turut bersama ialah barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang David Lakon, Entebu, Saratok.
Oleh Adi Safarman




