Empat jambatan mega perkukuh kesalinghubungan Sarawak

Facebook
WhatsApp
LAWATAN TAPAK...Ir. Aidel Lariwoo ketika meninjau kemajuan projek Jambatan Sungai Limbang yang kini mencapai sekitar 90 peratus dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

LIMBANG: Projek pembinaan Jambatan Sungai Limbang, Jambatan Batang Lupar 2, Jambatan Batang Rambungan dan Jambatan Batang Saribas 2 disasarkan siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, sekali gus mengukuhkan agenda transformasi infrastruktur serta kesalinghubungan di seluruh negeri.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir. Aidel Lariwoo, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi peneraju yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek berkenaan terus memberikan komitmen untuk menyiapkannya tahun ini.

Menurutnya, pembinaan jambatan mega di seluruh Sarawak terus menjadi pemangkin utama kepada pembangunan wilayah dan peningkatan jaringan perhubungan rakyat.

Katanya, projek infrastruktur ikonik itu bukan sahaja menghubungkan kawasan yang sebelum ini terpisah, malah mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak.

“Kerja pembinaan tinggal sedikit sahaja lagi untuk disiapkan. Jambatan ini merupakan antara empat jambatan mega yang kita sasarkan siap tahun ini, iaitu Jambatan Sungai Limbang, Jambatan Batang Saribas 2, Jambatan Batang Rambungan dan Jambatan Batang Lupar 2.

“Projek-projek ini kini hampir siap dengan kemajuan pembinaan sekitar 90 peratus. Jambatan Sungai Limbang, termasuk komponen jalan ke seberang serta satu lagi jambatan kecil, iaitu Jambatan Sungai Bunut, dijangka dapat disiapkan tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Jambatan Sungai Limbang, hari ini.

Jelasnya, selain jambatan utama berkenaan, JKR turut melaksanakan beberapa projek jambatan lain yang sedang dibina dan akan dibangunkan, termasuk Jambatan Marina di Miri dan jambatan baharu di West Bank, Sibu.

Aidel berkata, pada masa sama, JKR Sarawak turut mengurus pelaksanaan beberapa projek utama di bawah tujuh agensi pembangunan wilayah.

Katanya, projek berkenaan melibatkan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Agensi Pembangunan Penyelarasan Greater Kuching (GKCDA), Agensi Pembangunan Wilayah Mid-Rajang (MiRRDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Pembinaan projek infrastruktur berkenaan, katanya, bertujuan meningkatkan aksesibiliti, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memperbaiki taraf hidup rakyat.

Oleh Adeng Edrus