KUCHING: Kemasukan lebih banyak hospital swasta ke Sarawak dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak tempatan, khususnya dalam bidang perubatan dan kejururawatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan sektor kesihatan swasta di negeri ini akan meningkatkan permintaan terhadap tenaga profesional seperti doktor dan jururawat berkemahiran tinggi.
“Pembukaan hospital baharu turut memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk menceburi bidang kesihatan yang menawarkan kepakaran serta kemahiran profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pecah tanah Hospital Health Management International (HMI) Malaysia di Northbank, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan tidak terhad kepada rakyat Sarawak memandangkan industri kesihatan bersifat sejagat dan tenaga profesional boleh memilih lokasi yang menawarkan perkhidmatan serta kemudahan perubatan terbaik.
“Sarawak mempunyai kelebihan untuk menjadi hab kesihatan serantau susulan kedudukannya yang strategik serta mempunyai jaringan hubungan udara yang semakin berkembang.
“Bila orang sakit, di mana-mana pun dia akan berubat kerana dia mahu pulih dan psikologi itu mesti berbeza, kalau Sarawak ada sistem perubatan yang berkualiti, semestinya orang akan datang berubat di Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak merekodkan kira-kira 100,000 pelancong perubatan pada 2025, menunjukkan potensi besar negeri ini dalam sektor pelancongan kesihatan.
“Kalau pergi ke Normah atau KPJ, banyak orang Indonesia di sana.
“Kita dapat lihat, antara pasaran yang berpotensi ialah Indonesia yang mempunyai hampir 300 juta penduduk dan mempunyai kedudukan geografi yang dekat dengan Sarawak,” jealsnya.
Beliau berkata, hubungan udara yang semakin baik turut menjadi antara faktor yang menyokong kemasukan pesakit dari luar, termasuk menerusi syarikat penerbangan Sarawak iaitu AirBorneo yang menghubungkan Sarawak dengan destinasi lain.
“AirBorneo adalah sebahagian daripadanya, sebab AirBorneo kita macam jambatan yang menghubungkan kita dengan destinasi lain,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan tenaga kerja kesihatan perlu disokong menerusi kerjasama antara hospital dengan universiti bagi menyediakan tenaga profesional yang diperlukan.
“Perkembangan hospital swasta juga memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Sarawak yang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di dalam negeri berbanding pergi ke Singapura.
“Maksudnya, kita dapat jimat kos rakyat nak berubat di luar negeri, ramai orang Sarawak pergi berubat di hospital Singapura, sekarang dah ada hospital Singapura di Kuching, tak perlu lah mereka ke sana, berubat di Kuching sahaja.
“Pada masa sama, kerajaan negeri turut membangunkan kemudahan kesihatan awam termasuk hospital kanser bagi menyediakan akses rawatan kepada masyarakat tanpa mengira lapisan golongan mereka,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah





