KUCHING: Sarawak berpotensi muncul sebagai hab pelancongan perubatan serantau dengan pembukaan pejabat We Care Asia di Kuching, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk menarik pesakit antarabangsa serta merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan sektor pelancongan perubatan bukan sahaja memberi manfaat kepada hospital dan penyedia perkhidmatan kesihatan, malah mampu menjana limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor lain.
Beliau berkata, kehadiran pesakit antarabangsa bersama keluarga dan penjaga mereka akan meningkatkan permintaan terhadap hotel, penginapan, restoran, pengangkutan, pusat beli-belah, perniagaan tempatan serta aktiviti berkaitan pelancongan.
“Ini mewujudkan kesan gandaan yang memberi manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi negeri, selain membuka peluang perniagaan baharu kepada usahawan tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, ketika merasmikan majlis pelancaran Pejabat We Care Asia dan Modern Cancer Hospital Guangzhou di Kuching, di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, Indonesia merupakan antara pasaran penting yang berpotensi diterokai memandangkan Sarawak mempunyai hubungan sejarah, budaya dan geografi yang rapat dengan negara jiran itu.
Katanya, selain mendapatkan rawatan, pesakit antarabangsa dan keluarga mereka berpeluang meneroka pelbagai tarikan di Sarawak sebelum atau selepas menjalani rawatan.
“Pesakit dan keluarga mereka boleh mengunjungi taman negara, kampung budaya, kawasan tepian sungai, muzium serta tarikan warisan, selain menikmati masyarakat pelbagai budaya, tradisi dan layanan mesra Sarawak.
“Mereka pulang bukan sahaja dengan pengalaman rawatan, tetapi juga kenangan mengenai Sarawak yang boleh dikongsikan kepada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Menurutnya, perkembangan pelancongan perubatan itu selari dengan aspirasi Lembaga Pelancongan Sarawak untuk mempelbagaikan tawaran pelancongan serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan perubatan, kesihatan dan budaya.
Dr Sim berkata, pertumbuhan sektor itu turut melengkapi program Sarawak Malaysia My Second Home (S-MM2H) dengan menawarkan persekitaran menarik kepada pesara, ekspatriat dan penduduk jangka panjang yang memerlukan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Sementara itu, beliau berkata kerjasama dengan Modern Cancer Hospital Guangzhou menyediakan peluang kepada komuniti kesihatan Sarawak untuk memperluas pertukaran kepakaran, pengalaman klinikal, latihan, penyelidikan dan perkongsian pengetahuan dalam bidang rawatan kanser.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas We Care Asia, Dr Yusof Ahmad Khairuddin berkata, pembukaan pejabat berkenaan menjadi platform untuk menghubungkan pesakit dari negara lain dengan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
Beliau berkata We Care Asia berhasrat menyediakan sokongan menyeluruh kepada pesakit, daripada mengenal pasti pakar dan hospital yang sesuai, mengatur janji temu serta rawatan sehingga urusan perjalanan dan sokongan selepas rawatan.
Katanya, pembukaan pejabat di Kuching merupakan langkah awal untuk menghubungkan Sarawak dengan komuniti kesihatan serantau, khususnya Indonesia.
“Kami mahu membina ekosistem kesihatan yang membolehkan pesakit mendapat panduan yang tepat, hospital memperoleh peluang baharu, golongan profesional berkongsi pengetahuan dan Sarawak mendapat pendedahan antarabangsa yang lebih luas,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud





