COSTA RICA: Seekor katak kecil berwarna kehijauan yang aktif pada waktu malam dan hidup subur di ladang kopi ditemui di wilayah Pasifik tengah Costa Rica, namun spesies berkenaan turut berdepan risiko akibat penggunaan bahan kimia pertanian.
Berukuran kurang daripada empat sentimeter dan dikenali sebagai katak ‘spring’, amfibia berbintik hijau gelap itu ditemui wartawan AFP di San Lorenzo de Tarrazu.
“Ia merupakan spesies katak pokok baharu kepada dunia sains dan endemik di Costa Rica,” kata penyelidik, Wagner Chaves-Acuna, kepada AFP, berdasarkan penemuan rakan-rakannya dari Universiti Costa Rica dan Majlis Penyelidikan Kebangsaan Argentina bagi Sains dan Teknikal.
Digelar ‘katak kopi’, spesies berkenaan turut mempunyai ciri unik, iaitu katak jantan mempunyai bahagian tekak lut sinar yang mengembung ketika mengeluarkan bunyi nyaring dan pendek.
“Pada waktu malam, ketika paling aktif, anda boleh mendengar bunyi katak ini sambil ia bertenggek di pokok kopi,” kata Chaves-Acuna.
Secara amnya, katak mencari tempat teduh, kelembapan dan makanan di kawasan tanaman, namun tidak memakan buah kopi, sebaliknya serangga kecil yang terdapat di habitat berkenaan.
Chaves-Acuna memberi amaran bahawa penggunaan racun perosak di ladang kopi berpotensi mengancam amfibia kecil berkenaan.
“Racun ini bergerak melalui udara… meresap ke dalam tanah dan dari situ memasuki sistem akuatik tempat berudu membesar,” katanya. – AFP




