SARIKEI: Golongan belia yang berminat menyertai pasukan keselamatan negara dipelawa mendaftar sebagai anggota askar wataniah menerusi kaunter pengambilan yang dibuka sepanjang Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026.
Sarjan Iskandar dari Rejimen 510 Askar Wataniah berkata, pembukaan kaunter pengambilan itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai, khususnya golongan belia, mendapatkan maklumat secara terus mengenai syarat dan proses menyertai pasukan tersebut.
Katanya, individu yang berjaya menyertai askar wataniah perlu mengikuti Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) sebagai latihan permulaan.

“Pada pagi ini kami membuka kaunter pengambilan Rejimen 510 Askar Wataniah.
“Apabila sudah memasuki Askar Wataniah, mereka akan mengikuti kursus pertama iaitu Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) selama sebulan atau 28 hari,” katanya.
Beliau ketika demikian ketika ditemui Utusan Sarawak di gerai pameran dan pengambilan askar wataniah di Program SKS Bahagian Sarikei 2026, hari ini.
Katanya, selepas menamatkan kursus APMS, anggota akan melapor diri semula sebelum aktif mengikuti latihan tempatan di batalion masing-masing.

“Mereka ditempatkan mengikut batalion yang ditetapkan bagi meneruskan latihan dan memperkukuhkan kemahiran sebagai anggota askar wataniah.
“Syarat kelayakan untuk menyertai Askar Wataniah ialah berumur antara 18 hingga 45 tahun.
“Banyak kelebihan menyertai Askar Wataniah. Antaranya, sekiranya masih muda, iaitu berumur antara 18 hingga 20 tahun, mereka berpeluang menjadi anggota sepenuh masa,” katanya.
Iskandar turut menggalakkan lebih ramai belia mengambil peluang mengunjungi kaunter pengambilan sepanjang Program SKS Bahagian Sarikei 2026 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan proses permohonan menjadi anggota askar wataniah.
Oleh Earl Anek





