Hiroshima peringati ulang tahun ke-81 tragedi bom atom

Facebook
WhatsApp
1. PERDANA Menteri Jepun, Sanae Takaichi, menghadiri upacara peringatan sempena Ulang Tahun Ke-81 Pengeboman Atom di Taman Memorial Keamanan di Hiroshima pada 6 Ogos 2026. Foto AFP

TOKYO: Bandar Hiroshima di Jepun pada Khamis memperingati ulang tahun ke-81 pengeboman atom oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas bandar itu ketika kebimbangan terhadap risiko nuklear dan ketegangan global yang semakin memuncak terus meningkat, lapor Xinhua.

Dalam upacara peringatan tahunan yang diadakan di Taman Memorial Keamanan di bandar raya di barat Jepun itu, Datuk Bandar Hiroshima Kazumi Matsui menyampaikan Deklarasi Keamanan yang menekankan kesan kemusnahan akibat senjata nuklear serta menyeru usaha pelbagai hala bagi mencegah percambahan senjata nuklear dan melaksanakan pelucutan senjata.

BURUNG merpati dilepaskan semasa upacara peringatan sempena Ulang Tahun Ke-81 Pengeboman Atom di Taman Memorial Keamanan di Hiroshima pada 6 Ogos 2026. Foto AFP

“Meremehkan sifat tidak berperikemanusiaan senjata nuklear dan menerima penggunaan kekerasan untuk mengejar kemakmuran sendiri berisiko mencetuskan kitaran tindak balas ganas yang akhirnya boleh membawa kepada satu lagi tragedi Hiroshima atau Nagasaki,” katanya.

Ketika bilangan mangsa yang terselamat daripada pengeboman atom terus berkurangan, Matsui turut menggesa generasi muda mengambil inisiatif untuk membina kesepakatan yang lebih meluas ke arah penghapusan senjata nuklear.

WAKIL kanak-kanak Hiroshima menyampaikan bunga semasa Upacara Memorial Keamanan sempena Ulang Tahun Ke-81 Pengeboman Atom di Taman Memorial Keamanan di Hiroshima pada 6 Ogos 2026. Foto AFP

Upacara bertafakur selama seminit diadakan pada 8.15 pagi waktu tempatan, iaitu tepat ketika bom atom yang digugurkan pesawat pengebom AS meletup di bandar itu pada 6 Ogos 1945, yang mengorbankan kira-kira 140,000 nyawa menjelang akhir tahun berkenaan.

Tiga hari selepas serangan nuklear pertama di dunia memusnahkan Hiroshima, bom atom kedua digugurkan di Nagasaki, barat daya Jepun.

Sebagai satu-satunya negara di dunia yang pernah mengalami pengeboman atom, Jepun sejak sekian lama berpegang kepada Tiga Prinsip Bukan Nuklear yang melarang pemilikan, penghasilan atau kemasukan senjata nuklear ke wilayah negara itu.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, desakan untuk menyemak semula prinsip berkenaan semakin meningkat, khususnya dalam kalangan blok pemerintah.

ORANG ramai berdoa di Tugu Peringatan Mangsa Pengeboman Atom sempena Ulang Tahun Ke-81 pengeboman atom di Taman Memorial Keamanan di Hiroshima pada 6 Ogos 2026. Foto AFP

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sanae Takaichi sedang mempertimbangkan untuk menyemak semula prinsip yang melarang kemasukan senjata nuklear ke Jepun.

Langkah yang dilaporkan itu mencetuskan kebimbangan meluas dalam pelbagai lapisan masyarakat Jepun.

Akhbar Tokyo Shimbun pada Rabu melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 128 dewan tempatan dari 36 wilayah di seluruh Jepun telah mengemukakan pendapat bertulis kepada Diet sejak Takaichi memegang jawatan pada Oktober tahun lepas.

Dokumen itu menggesa kerajaan supaya terus mempertahankan Tiga Prinsip Bukan Nuklear, dengan jumlah berkenaan merupakan rekod tertinggi. – Bernama-Xinhua