LIMBANG: Aspek pemantauan keselamatan dan kesiapsiagaan di Lapangan Terbang Limbang sentiasa dipertingkat bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, termasuk kemasukan barang terlarang, ketirisan serta ancaman keselamatan.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang sentiasa bekerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi memperketat kawalan di pintu masuk utama daerah ini.
Katanya, meskipun tiada kes kemasukan barang terlarang dikesan di Lapangan Terbang Limbang setakat ini, langkah pencegahan sentiasa diperkasakan.
“Semua bagasi yang melalui lapangan terbang ini akan melalui proses pemeriksaan menggunakan alat pengimbas (scanner) yang dikendalikan oleh pasukan keselamatan. Sekiranya terdapat barang mencurigakan dikesan, tindakan sewajarnya akan diambil.
“Setakat ini, kita tidak menemui sebarang bahan terlarang atau elemen yang boleh mengancam keselamatan, khususnya di lapangan terbang ini sama ada melibatkan kemasukan atau pergerakan penumpang. Namun, langkah-langkah pencegahan sentiasa dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Latih Amal Bencana (Full Scale Exercise) Lapangan Terbang Limbang 2026, hari ini.
Turut hadir ialah wakil Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang DSP Peter Jumat, Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan, Ketua Perkhidmatan AFRS Limbang Joseph James Ugil, Pegawai RELA Daerah Limbang Lusia A Jakaria serta ketua jabatan kerajaan lain.
Parum berkata, latihan berkenaan dilaksanakan secara berkala bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta kecekapan semua agensi yang terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan, termasuk kemalangan pesawat, kebakaran, ancaman keselamatan dan bencana lain khususnya di kawasan lapangan terbang.
Menurutnya, latihan itu juga bertujuan memastikan setiap agensi memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, selain menguji keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada serta memperkukuh koordinasi antara agensi.
Pada masa sama, katanya, latihan tersebut memberi peluang kepada semua petugas untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran ketika berdepan situasi kecemasan.
Hampir 50 pegawai dan anggota daripada Lapangan Terbang Limbang, PDRM Limbang, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Limbang, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Limbang, Jabatan Sukarelawan (RELA), Kementerian Kesihatan (KKM), Pejabat Daerah serta Pejabat Residen Bahagian Limbang menyertai program anjuran Lapangan Terbang Limbang itu.
Oleh Adeng Edrus



