BINTANGOR: Usaha memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan Meradong terus diperkasakan menerusi lawatan ke enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bagi meninjau keadaan semasa dan mengenal pasti keperluan prasarana yang perlu diberi perhatian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, lawatan tersebut dilaksanakan bersama Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Sarawak, Dato Jonathan Chai Voon Tok sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kemudahan pembelajaran di sekolah-sekolah berkenaan terus dipertingkatkan.
“Lawatan ini bertujuan meninjau keadaan serta keperluan prasarana dan kemudahan di sekolah-sekolah berkenaan supaya segala keperluan yang dikenal pasti dapat diberi perhatian sewajarnya.
“Pendidikan merupakan antara aspek penting yang perlu terus diberi keutamaan kerana kemudahan pembelajaran yang berkualiti mampu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada murid dan guru,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai lawatan ke SJKC Tong Hua, SJKC Kung Cheng, SJKC Yong Kwong, SJKC Ming Tee, SJKC Ming Shing dan SJKC Kai Chung di Daerah Meradong, hari ini.
Koung Hiing turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri dalam menyalurkan dana kepada Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Sarawak.
“Saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas keprihatinan dan komitmen beliau dalam menyalurkan dana peruntukan kepada Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Sarawak.
“Peruntukan tersebut amat bermakna dalam membantu persatuan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf serta membaik pulih prasarana di SJKC di seluruh Sarawak.
“Usaha berterusan ini diharap dapat memastikan para murid menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif, sekali gus menyokong usaha memperkukuh pembangunan pendidikan di Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sokongan terhadap institusi pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan bagi memastikan generasi muda menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan mampu melahirkan modal insan berkualiti demi masa depan Sarawak.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Bahagian Sarikei, Sia Sie Ong; Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Bahagian Sibu, Kapit dan Mukah, Chen Su Meng; Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Bahagian Sri Aman dan Betong, Wilson Chai Siew Lin; Pemanca Yii Hee Sie dan Kapitan Kiu Chiong Chui.
Oleh Earl Anek





