KUCHING: AirBorneo mahu membawa identiti Sarawak merentasi ruang udara menerusi pengalaman penerbangan yang mengetengahkan warisan budaya dan cita rasa tempatan, termasuk sajian ikonik seperti Laksa Sarawak, Mi Kolok dan Nasi Dabai.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, konsep ‘Sarawak Experience’ iaitu pengalaman Sarawak akan menjadi antara elemen utama yang membezakan syarikat penerbangan itu daripada pesaing lain dalam industri penerbangan.
Menurutnya, identiti Sarawak tidak hanya diterapkan melalui penjenamaan, tetapi akan diterjemahkan melalui pengalaman sebenar yang dinikmati penumpang sepanjang perjalanan.
“Tiada syarikat penerbangan tempatan lain di luar sana yang benar-benar mencerminkan kebudayaan dan identiti Sarawak secara menyeluruh.

“Di AirBorneo, kita membawa budaya dan makanan tradisi tempatan terus ke dalam penerbangan untuk dinikmati para penumpang,” katanya ketika menjadi tetamu program Dialog TVS Pentas Diskusi Anda.
Menurutnya, AirBorneo bukan sebuah syarikat penerbangan yang sekadar mahu mengikuti apa yang dilakukan oleh syarikat penerbangan lain.
“Kita bukan me-too airline. Kita bukan, ‘saya pun mahu buat perkara yang sama’. Kita tidak begitu. Kita mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.
Megat Ardian berkata, antara kelebihan AirBorneo ialah rangkaiannya yang relevan dengan keperluan Sarawak serta pengalaman penerbangan yang mencerminkan identiti negeri ini.
Antara hidangan khas yang dirancang untuk disajikan dalam penerbangan termasuk Laksa Sarawak, Mi Kolok dan Nasi Dabai sebagai usaha memperkenalkan keunikan cita rasa negeri kepada penumpang.
“Kita bawa budaya, makanan dalam pesawat iaitu lambang identiti Sarawak ‘The Signature of Sarawak’.
“Semua lima deria, apa yang anda hidu di dalam pesawat, apa yang anda dengar dan apa yang anda rasa, semuanya akan mempunyai elemen Sarawak,” katanya.
Katanya, pengalaman Sarawak dirangka melalui elemen lima deria penumpang, daripada aspek visual, bunyi, aroma sehingga rasa, agar perjalanan bersama AirBorneo membawa sentuhan Sarawak yang lebih autentik ketika berada di dalam pesawat.
“Matlamat kita adalah supaya apa yang mereka lihat, dengar, hidu dan rasa sepanjang penerbangan akan membawa sentuhan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata penerapan identiti tempatan itu juga memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pelancongan, menarik pelaburan serta memperkenalkan Sarawak kepada lebih ramai pelawat.
Menurutnya, AirBorneo turut memberi tumpuan kepada penyediaan rangkaian penerbangan yang relevan bagi menghubungkan kawasan bandar dan pedalaman, selain melaksanakan tanggungjawab Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di bawah Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO).
Dalam pada itu, Megat Ardian berkata pengalaman Sarawak dalam penerbangan turut diperkukuh menerusi tenaga kerja tempatan selepas pengambilalihan operasi menyaksikan lebih 290 warga kerja daripada bahagian operasi, kejuruteraan dan jualan diteruskan bersama syarikat.
Katanya, warga kerja tersebut kini melalui program pembangunan bakat bagi meningkatkan standard perkhidmatan dan memastikan pengalaman penumpang selari dengan identiti AirBorneo.
Mengulas pelan masa depan, beliau berkata AirBorneo menyasarkan peluasan rangkaian penerbangan ke destinasi domestik serta serantau di ASEAN.
“Apabila kita berkembang, kita akan menambah pesawat, destinasi dan rangkaian.
“Apabila ketiga-tiga perkara ini bertambah, kita akan menambah peluang pekerjaan, pembangunan bakat, tenaga kerja tempatan dan kemahiran,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu bukan sahaja akan memperkenalkan budaya Sarawak ke peringkat antarabangsa, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan kemahiran dalam industri penerbangan.
Oleh Shikin Mahmud




