KOTA SAMARAHAN: Tenaga kerja Sarawak perlu menguasai kemahiran dan pengetahuan digital bagi memastikan mereka mampu memenuhi keperluan pekerjaan pada masa depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keperluan itu semakin penting berikutan kemunculan pelbagai industri baharu yang memerlukan tenaga kerja dengan kemahiran teknologi.
“Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dijangka mewujudkan 80,000 peluang pekerjaan menjelang 2050 menerusi tujuh bidang tenaga.
“Tujuh bidang berkenaan merangkumi tenaga boleh diperbaharui, gas asli, kecekapan tenaga, hidrogen, mobiliti rendah karbon, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta tenaga alternatif seperti bioenergi.

“Industri baharu ini memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran sesuai dengan teknologi yang diperlukan, justeru kemahiran dan pengetahuan digital merupakan antara keperluan utama bagi memenuhi permintaan pekerjaan Sarawak pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Hab Pengalaman Digital (DEX Hub) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Hab DEX, Unimas, hari ini.
Beliau mengulas lanjut, Sarawak telah memulakan transformasi digital sejak 2017 di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menerusi penubuhan Sarawak Multimedia Authority (SMA).

“Usaha itu bertujuan mengubah Sarawak daripada ekonomi berasaskan sumber tradisional kepada ekonomi yang lebih maju dari segi teknologi serta dipacu data dan inovasi, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Sarawak turut menyasarkan untuk mewujudkan antara 39,000 hingga 48,750 pekerjaan digital, mencapai sumbangan ekonomi digital sebanyak 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bersamaan RM56.4 bilion serta mewujudkan 500 syarikat pemula berteknologi tinggi menjelang 2030.
“Transformasi digital tidak boleh berlaku secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi akademik dan industri bagi mencapai sasaran ekonomi digital Sarawak,” jelasnya.
Uggah berkata, pelancaran Hab DEX Unimas tepat pada masanya kerana sejajar dengan teras kelima Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE 2030) yang memberi tumpuan kepada kemahiran dan bakat digital, infrastruktur serta kesalinghubungan, tadbir urus data dan keselamatan siber, penyelidikan, inovasi serta keusahawanan.

Untuk rekod, Hab DEX dilancarkan secara rasmi menerusi kerjasama Unimas dengan Google, AI Singapore, Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC), Insights Analytics Berhad dan Ernst & Young (EY) Consulting.
Hab berkenaan menyediakan akses kepada pelbagai alat produktiviti dan kecerdasan buatan (AI), selain latihan serta program peningkatan kemahiran untuk warga universiti dan komuniti setempat.
Oleh Masrin Affirah





