KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak (CNS) menggesa agar Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) disemak semula.
Pengerusi CNS Ahmad Malie berkata, ia adalah untuk penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.
“CNS menggesa agar kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan kadar BIW memandangkan elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Semenanjung Malaysia telah dinaikan sebanyak RM50.00 sebelum ini.
“CNS melihat walaupun kenaikan ini Nampak jumlah yang kecil namun impaknya amat besar kepada emolumen penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, di Kuching, semalam.
Justeru itu, CNS turut menggesa kerajaan persekutuan agar mengkaji semula kadar BIW ini memandangkan kadar ini belum disemak semula sejak 15 tahun sedangkan elaun COLA telah disemak dan mendapat kenaikan sebanyak RM50.00.
“Mengikut kadar yang sedia ada, kadar bayaran BIW ini adalah berdasarkan gred dan gaji pokok seorang penjawat awam.
“Oleh itu, CNS mengharapkan agar kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan serta merealisasikan cadangan CNS ini demi kebajikan warga penjawat awam persekutuan di Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kali terakhir BIW disemak oleh Kerajaan Persekutuan ialah pada tahun 2006.
“Lama sudah kita mohon untuk BIW ini tetapi disebabkan pertukaran kerajaan dahulu sudah ada bunyi elaun BIW ini akan dipertimbangkan.
“Namun begitu, oleh kerana pertukaran kerajaan pada ketika itu jadi nampaknya perkara ini masih tercicir.
“Oleh itu, kita akan sentiasa mengingatkan kerajaan supaya mengambil kira perkara ini dalam apa juga pertimbangan kerajaan dalam melihat kepada kebajikan penjawat awam,” katanya.
Katanya, CUEPACS pusat menyenaraikan BIW sebagai lima perkara penting yang dimajukan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.
Pada sidang media tersebut, Ahmad turut mengumumkan persaraannya sebagai pengerusi CUEPACS Sarawak susulan persaraan wajib sebagai penjawat awam pada 21 Mei lepas.
Susulan persaraan itu, tugas beliau sebagai pengerusi akan diserah kepada pemangkunya Omar Bahrein Unin yang juga timbalan pengerusi, berkuatkuasa hari semalam.
Oleh JEAKQLEYN YACHO