PADAWAN: Seorang pekerja buruh berusia 19 tahun mengaku membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun di Batu Kawa selepas dipercayai kehilangan barangan peribadi akibat tercicir.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan bagi mengelakkan dikenakan denda berkaitan permohonan menggantikan kad pengenalan yang hilang.
Menurutnya, suspek membuat laporan polis pada Ahad lalu dengan mendakwa dirinya disamun oleh dua lelaki tidak dikenali ketika berjalan kaki berhampiran Pasar Raya Everwin, MJC Batu Kawa kira-kira 7.40 malam.
“Berdasarkan laporan tersebut, seorang suspek dikatakan mengacukan objek tajam di bahagian pinggangnya manakala seorang lagi melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM, cukai jalan motosikal serta wang tunai RM120,” katanya.
Barry berkata, susulan laporan itu, pengadu dipanggil ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah di Balai Polis Kota Sentosa pada Isnin lalu bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati laporan samun yang dibuat adalah palsu dan direka. Pengadu mengaku sebenarnya tidak disamun, sebaliknya barangan berkenaan tercicir.
“Dia membuat laporan palsu kerana tidak mahu dikenakan denda bagi permohonan kad pengenalan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh di sebuah tapak pembinaan perumahan di MJC Batu Kawa sejak kira-kira tiga bulan lalu memberikan kerjasama sepanjang siasatan serta mengakui kesilapannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.
Barry menegaskan bahawa membuat laporan polis palsu merupakan kesalahan serius dan individu yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memberikan maklumat yang benar ketika membuat laporan polis kerana tindakan membuat laporan palsu bukan sahaja membazirkan masa dan sumber pihak berkuasa, malah boleh menjejaskan siasatan terhadap kes jenayah sebenar.
Oleh Connie Chieng




