PADAWAN: Seorang wanita berusia 53 tahun kerugian RM622,320 selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian menggunakan nama JD World Wide.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima di Balai Polis Kota Sentosa pada 8.43 pagi semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai kerani akaun telah menekan pautan ke platform pelaburan palsu sebelum memuat turun aplikasi JD World Wide dan mengisi maklumat peribadinya.
“Mangsa mula menyertai pelaburan itu pada 14 Jun dengan membuat pembayaran awal sebanyak RM1,000 dan menerima pulangan RM1,120 dua hari kemudian, sekali gus meyakinkannya bahawa pelaburan tersebut adalah sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tertarik dengan pulangan awal itu, mangsa kemudiannya membuat beberapa lagi transaksi ke beberapa akaun bank milik syarikat berbeza seperti diarahkan suspek.
Dalam tempoh 14 Jun hingga 23 Julai, mangsa melakukan sebanyak 15 transaksi berjumlah RM622,320 menggunakan wang simpanannya sendiri.
Barry berkata, mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan apabila gagal mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi walaupun telah beberapa kali mencuba.
“Siasatan turut mendapati semua urusan antara mangsa dan suspek dilakukan melalui dua nombor telefon luar negara,” katanya.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan individu yang terlibat, termasuk pemilik nombor telefon dan akaun bank yang digunakan dalam kegiatan penipuan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Barry menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum memindahkan wang kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Oleh Connie Chieng




