MIRI: Projek menaik taraf Bulatan Pujut 3 (Bulatan GK) kepada persimpangan lampu isyarat serta pelebaran Jalan Bulatan Puchong–Sungai Lutong kini memasuki fasa reka bentuk, perolehan dan tender selepas semua kerja awal berjaya disiapkan.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, perkembangan itu diperoleh selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sidang Parlimen baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, semua kerja awal termasuk siasatan tapak, Penilaian Impak Trafik (TIA) dan kerja ukur tanah telah selesai dilaksanakan.
“Selain itu, Kementerian Kerja Raya turut menyiapkan Penilaian Nilai (VA) bagi cadangan projek berkenaan serta mengesahkan peruntukan sebanyak RM70 juta.
“Skop fizikal projek telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan siling kos RM70 juta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf Bulatan Pujut 3 kepada persimpangan lampu isyarat serta pelebaran Jalan Bulatan Puchong–Sungai Lutong daripada dua lorong kepada tiga lorong, bermula dari Bulatan Saberkas Pujut hingga persimpangan Pujut 7.
Chiew berkata, dengan kerja awal selesai dan peruntukan telah disahkan, beliau berharap proses reka bentuk, perolehan dan tender dapat dilaksanakan dengan lancar supaya kerja pembinaan dapat dimulakan secepat mungkin.
Beliau turut mengakui penduduk Miri telah lama menantikan pelaksanaan projek itu memandangkan ia penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Menurutnya, projek tersebut merupakan antara isu yang sering dibangkitkan beliau di Parlimen sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Miri pada 2022, selain projek naik taraf Lapangan Terbang Miri, Kompleks ICQS Sungai Tujoh, projek sekolah tertangguh dan perlindungan hakisan Pantai Lutong.
“Saya akan terus memantau rapat kemajuan projek ini, mendapatkan perkembangan terkini secara berkala serta memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat Miri secepat mungkin,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling



