FTES buka peluang pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak

Facebook
WhatsApp
ADUN Meluan, Dato Rolland Duat Jubin menandatangani plak perasmian dewan baharu SMK Julau, baru-baru ini. Foto UKAS

JULAU: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang diperkenalkan kerajaan Sarawak membuka peluang lebih luas kepada anak negeri untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pelajar Sarawak merupakan golongan yang bertuah kerana kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, telah menyediakan peruntukan bagi menjayakan skim tersebut.

“Program Ekspo Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) Yayasan Sarawak sangat penting.

“Pelajar Sarawak amatlah bertuah kerana kerajaan Sarawak yang diketuai oleh pemimpin nombor satu kita iaitu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan FTES untuk semua pelajar Sarawak,” katanya.

DATO Rolland bergambar bersama warga SMK Julau. Foto UKAS

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Ekspo FTES Yayasan Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau, baru-baru ini.

Katanya, pelajar perlu memberi penekanan terhadap penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana bidang tersebut menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi

“Penekanan kita adalah tertumpu kepada pelajaran STEM. Pelajar kita harus banyak mempelajari sains, matematik, bahasa Inggeris dan kejuruteraan.

“Kerajaan Sarawak mahu lebih ramai lagi pelajar kita mengikuti pelajaran STEM dan TVET,” katanya.

Beliau berharap para pelajar dapat memahami hala tuju pendidikan yang diterangkan sepanjang ekspo tersebut supaya mereka lebih bersedia membuat pilihan selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Kerajaan Sarawak mahukan pelajar-pelajar kita selepas keluar dari universiti membantu negeri kita membangunkan Sarawak.

“Oleh itu, kerajaan Sarawak memberi pelajaran percuma kepada pelajar kita,” katanya.

Rolland, yang juga bekas pendidik, berkata pendidikan sentiasa menjadi keutamaan beliau kerana hanya melalui pendidikan berkualiti kehidupan rakyat dapat diubah ke arah yang lebih baik.

“Saya sebagai wakil rakyat berlatar belakangkan seorang pendidik, seorang guru. Sebab itu penekanan atau fokus saya tidak lain adalah pendidikan.

“Melalui pendidikan yang berkualiti dan cemerlang, kita dapat mengubah nasib rakyat kita, diri kita sendiri dan masyarakat kita,” katanya lagi.

Beliau turut berkongsi bahawa SMK Julau merupakan sekolah lamanya dan menyatakan rasa bangga apabila hasrat menaik taraf sekolah itu dengan pembukaan kelas Tingkatan Enam akhirnya direalisasikan oleh kerajaan

“Saya mohon agar SMK Julau dinaik taraf kepada kelas Tingkatan Enam. Terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar suara saya.

“Tahun ini kita ada kelas Tingkatan Enam dan saya cukup bangga,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM25,000 kepada SMK Julau bagi menyokong pembangunan sekolah, selain RM30,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Julau untuk memperkukuh pelaksanaan program pendidikan di daerah tersebut.

Oleh Earl Anek