KUCHING: Kuching terus memperkukuh kedudukannya sebagai bandar gastronomi bertaraf antarabangsa apabila menghimpunkan sajian dan warisan makanan dari bandar kreatif gastronomi UNESCO seluruh dunia menerusi pembukaan Pavilion Gastronomi UCCN 2026 malam ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, penganjuran pavilion berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting buat Kuching selaku bandar pertama dan satu-satunya di Malaysia yang diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.
“Setiap hidangan membawa cerita tersendiri mengenai bandar asalnya, mencerminkan budaya, tradisi dan masyarakat yang membentuk identitinya.
“Pavilion ini benar-benar menawarkan perjalanan mengelilingi dunia menerusi makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pavilion Gastronomi UCCN 2026 yang diadakan sempena Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) bagi kategori Bandar Kreatif Gastronomi, di Festival Kuching, malam ini.
Pavilion tersebut menjadi antara tarikan utama mesyuarat tahunan itu, dengan memberi peluang kepada pengunjung menikmati sajian asli dari bandar kreatif gastronomi UNESCO seluruh dunia dalam satu lokasi sepanjang tujuh hari penganjuran.
Antara bandar kreatif gastronomi yang menyertai acara itu ialah Chengdu dan Quanzhou dari China, Buraydah dan Madinah dari Arab Saudi, Iloilo dari Filipina, Belo Horizonte dari Brazil, Lucknow dari India serta tuan rumah Kuching.
Wee berkata, makanan mempunyai keupayaan unik untuk menghubungkan masyarakat, membina persahabatan serta meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dunia.
“Melalui makanan, kita dapat berkongsi cerita, memahami warisan antara satu sama lain dan membina hubungan lebih erat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai mengunjungi setiap pavilion, berinteraksi dengan cef antarabangsa, menikmati hidangan yang disediakan serta memahami kisah di sebalik setiap resipi yang dipersembahkan.
“Kepada semua delegasi antarabangsa, terima kasih kerana memilih Kuching. Kami berharap anda menikmati keramahan Sarawak, membina persahabatan berkekalan dan mewujudkan kerjasama bermakna sepanjang berada di sini,” katanya.
Pavilion Gastronomi UCCN 2026 berlangsung selama tujuh hari dengan mengetengahkan pengalaman kulinari antarabangsa selain memperkenalkan kekayaan makanan dan budaya Sarawak kepada pengunjung tempatan serta luar negara.
Oleh Adele Rissa




