SARATOK: Projek pembinaan kemudahan baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Atoi, Awik secara rasminya diserahkan kepada Jabatan Pendidikan (JPNS) menerusi Majlis Penyerahan Projek yang berlangsung dekat sini kelmarin.
Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR), majlis penyerahan yang diadakan itu menjadi simbol penyerahan rasmi kemudahan sekolah yang telah siap dibina kepada pihak JPNS bagi membolehkan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah.
Majlis berkenaan dihadiri wakil JPNS, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok, pihak pengurusan SK Nanga Atoi, pegawai JKR serta pihak kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut.
Menurut kenyataan itu, projek berkenaan merangkumi pembinaan dua blok bangunan bilik darjah, sebuah blok bangunan makmal sains serta sebuah tangki air bertingkat bagi memenuhi keperluan infrastruktur sekolah yang semakin berkembang.
Selain itu, projek tersebut turut melibatkan pelaksanaan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal serta pembinaan sistem perparitan yang lengkap bagi memastikan kemudahan sekolah lebih moden, selamat, selesa dan kondusif.

JKR berkata, pelaksanaan projek itu memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar, selaras dengan usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkualiti.
Katanya, penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada murid dan guru, malah mampu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Kemudahan baharu itu juga diharap dapat meningkatkan motivasi murid untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum, di samping menyokong usaha melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran serta berdaya saing.
Dengan siapnya projek tersebut, SK Nanga Atoi kini memiliki kemudahan yang lebih lengkap bagi memenuhi keperluan semasa warga sekolah serta menyokong pelaksanaan sistem pendidikan yang lebih berkualiti.
JKR berharap segala kemudahan yang telah disediakan dapat dimanfaatkan dan diselenggara dengan sebaiknya agar terus memberi manfaat kepada murid, guru dan seluruh komuniti sekolah untuk tempoh jangka panjang.
Oleh Adi Safarman




