Sarikei sedia tampilkan keunikan tersendiri sempena Program Sarawakku Sayang

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh di sidang media bertempat di tapak Pentas Utama SKS Bahagian Sarikei 2026, Kompleks Sukan Sarikei, hari ini.

SARIKEI: Orang ramai, khususnya penduduk di Bahagian Sarikei dan kawasan sekitarnya, diseru hadir memeriahkan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos ini bagi menyaksikan pelbagai pengisian menarik serta keunikan yang ditampilkan sepanjang program berkenaan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, persiapan penganjuran kini berada pada peringkat akhir selepas mesyuarat penyelarasan terakhir dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak.

“Kita baru sahaja selesai mesyuarat terakhir bagi Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee.

“Kita juga telah membincangkan perkara-perkara yang perlu diambil tindakan oleh agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan mengikut peranan masing-masing,” katanya pada sidang media di tapak Pentas Utama Program SKS Bahagian Sarikei 2026, Kompleks Sukan Sarikei, hari ini.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, berdasarkan taklimat yang diterima, tahap persiapan keseluruhan adalah memuaskan dan memberi keyakinan bahawa program tersebut akan berlangsung dengan lancar.

“Saya sebagai wakil rakyat dari kawasan ini mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan juga Datu Hii Chang Kee kerana berdasarkan persiapan yang dilaksanakan serta taklimat yang saya terima tadi, semuanya berada pada tahap yang memuaskan.

“Pada 8 Ogos nanti, kita akan menyaksikan satu kejutan. Bahagian Sarikei mempunyai keunikan tersendiri yang akan diketengahkan.

“Insya-Allah, dengan susun atur yang telah dan sedang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan, kita akan menyaksikan satu peristiwa yang cukup bermakna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat dari seluruh Sarawak supaya mengambil peluang menghadiri program tersebut dan mendengar amanat yang akan disampaikan oleh Premier Sarawak.

“Saya menyeru semua warga, bukan sahaja dari Bahagian Sarikei, malah dari Bahagian Mukah, Tanjung Manis, Betong, Sibu, Kapit dan kawasan lain supaya datang bersama-sama menyaksikan sendiri keunikan Bahagian Sarikei serta mendengar amanat daripada Yang Amat Berhormat (YAB) Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Len turut mengumumkan penambahbaikan hadiah cabutan bertuah bagi Program SKS Bahagian Sarikei 2026.

“Hadiah cabutan bertuah tiket penerbangan pergi balik Kuching-Kuala Lumpur-Kuching untuk dua orang menggunakan Air Borneo akan ditambah baik.

“Kini, hadiah tersebut ditingkatkan kepada pakej penerbangan Kuching-Jakarta-Kuching untuk dua orang, termasuk penginapan hotel selama tiga hari dua malam,” katanya.

Tambahnya, walaupun penerbangan Air Borneo ke Jakarta masih belum beroperasi, hadiah tersebut disediakan sebagai persediaan awal ke arah peluasan destinasi penerbangan syarikat itu pada masa akan datang.

“Air Borneo belum lagi terbang ke Jakarta, tetapi kita sudah membuat persediaan. Pemenang cabutan bertuah tiket pergi balik ini nanti akan dapat menikmati hadiah tersebut,” katanya.

Oleh Earl Anek