Era baharu hubungan Sarawak-Indonesia diperkukuh melalui diplomasi strategik

Facebook
WhatsApp
TUN Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Raden Iman Hascarya Kusumo, dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Hendy Assan di Astana Negeri Sarawak, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia yang baharu, Raden Iman Hascarya Kusumo dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri yang baharu, Hendy Assan mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Kunjungan tersebut turut disertai isteri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Kunjungan itu diadakan bagi memperkenalkan secara rasmi kedua-dua pegawai berkenaan susulan pelantikan mereka ke jawatan masing-masing.

Hendy Assan mengambil alih jawatan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri daripada Dato Fenny Nuli, manakala Raden Iman Hascarya Kusumo dilantik sebagai Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia bagi menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Hermono.

Pertemuan tersebut turut menjadi platform bagi mengeratkan hubungan antara Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia serta institusi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam aspek hubungan dua hala, hal ehwal diplomatik serta pelbagai inisiatif antarabangsa yang melibatkan Sarawak.

Kunjungan hormat tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan mencerminkan komitmen berterusan semua pihak untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia, Indonesia dan kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan serta hubungan diplomatik yang lebih erat.