SEMUA pemain pasukan Sri Aman FA perlu bersikap profesional serta menerapkan disiplin tinggi dalam mengekalkan tahap kecergasan biarpun terpaksa berlatih di rumah agar mereka sentiasa bersedia sekiranya saingan Liga SSC-FAS bersambung semula nanti.
Selasa lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr. Ong Kong Swee telah mengumumkan aksi Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 akan ditangguhkan seketika susulan penularan COVID-19 di negeri ini.
Sehubungan dengan keadaan pandemik COVID-19 semasa katanya, pihak pengurusan SSC dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah bersetuju untuk menangguhkan dahulu penganjuran liga tersebut ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali.
Oleh yang demikian, Pengurus pasukan Sri Aman FA, Awang Putrayusrie Awang Redzuan yang mengakui satu cabaran besar untuk mengetahui apa yang sedang dilakukan anak buahnya pada waktu tempoh ini walaupun beliau ada mengarahkan mereka melakukan latihan kendiri di rumah masing-masing.
Justeru, beliau tiada pilihan lain mengharapkan semua pemain patuh terhadap apa diarahkan selain turut cuba melakukan inisiatif tambahan bagi memastikan tahap kecergasan masing-masing tidak merosot.
“Kita ada bagi program kepada pemain sepanjang penangguhan liga ini, tetapi saya tidaklah sampai minta bukti video kerana bagi saya, pemain tahu tanggungjawab mereka untuk sentiasa kekal cergas dan saya mempercayai mereka.
“Saya tidaklah ada sebarang kaedah tertentu dalam tempoh seperti ini kerana saya percaya latihan dalam bola sepak seharusnya bermula di atas padang.
“Memang saya akui rasa sukar buat mana-mana seorang pemain bola sepak berada di tahap kecergasan terbaik sekiranya hanya sekadar berlatih di rumah dengan turut dibantu jurulatih kecergasan.
“Jadi saya harap pemain-pemain akan cuba semaksimum mungkin kekal aktif serta disiplin dalam melakukan sebarang aktivit fizikal kerana apabila latihan kembali bersambung, mereka masih kekal di tahap terbaik dan tidak ada sebarang masalah kesihatan,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Awang Putrayusrie berkata beliau turut bimbang tempoh rehat panjang pasukannya, bakal menjejas momentum anak-anak buahnya apabila pusingan kedua Liga SSC-FAS 2021 yang akan bersambung semula pada bila-bila masa.
Jelasnya lagi, prestasi pemain selepas dua perlawanan yang ditempuhi sebelum ini adalah amat membanggakan serta menampakkan peningkatan ketara terutamanya tahap keyakinan pemain dan keserasian dalam permainan selain tahap kecergasan setiap pemain juga adalah memuaskan.
“Kita tidak menafikan berikutan meningkatnya kes wabak Covid-19 masa ini di Sarawak, arahan menangguhkan seketika penganjuran liga ini sedikit sebanyak mengganggu momentum pasukan (Sri Aman FA) dalam persediaan saingan seterusnya, memandangkan selepas dua perlawanan yang telah ditempuhi serta menghasilkan kemenangan berturut-turut, selera (mood) setiap pemain berada di tahap prestasi memuncak,” tegasnya.
Awang Putrayusrie berkata beliau percaya aspek mentaliti untuk menjadi juara yang diterapkan oleh pemain yang diamanahkan adalah kunci utama bagi merebut gelaran kejuaraan musim ini.
“Saya seringkali mengingatkan setiap pemain skuad Sri Aman FA 2021, mempunyai mentaliti untuk menjadi juara dan memperoleh kemenangan dalam setiap perlawanan bagi memastikan kejayaan milik pasukan.
“Kalau ada mentaliti untuk menang…InsyaAllah (kita boleh mencapai kemenangan). Jangan kita hidup ini berasa selesa, sebaliknya mesti sentiasa mahu berjaya,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN