Dokumentasi tanah NCR penting jamin hak milik penduduk

Facebook
WhatsApp
DR Simon Sinang Bada menyampaikan sumbangan bagi pelaksanaan Projek Dokumentasi Tanah NCR kepada wakil kampung pada majlis yang diadakan di Balai Raya Reteh Plaman, Tebedu. Foto UKAS

TEBEDU: Pemilik tanah adat Bumiputera (NCR) diseru agar memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan projek dokumentasi tanah NCR bagi menjamin hak milik tanah untuk generasi masa kini dan akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata sesi penerangan dan dialog yang diadakan bertujuan memberikan maklumat serta meningkatkan pemahaman penduduk mengenai kepentingan pelaksanaan projek tersebut.

Menurut beliau, projek dokumentasi tanah NCR merupakan satu inisiatif penting kerana dapat membantu mengesahkan hak milik tanah melalui dokumen yang sah, sekali gus mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan.

“Tanah yang tidak mempunyai dokumen sukar dibuktikan pemilikannya, manakala dokumentasi yang lengkap akan memberikan penjelasan yang jelas mengenai status tanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan dan Dialog Projek Dokumentasi Tanah NCR di Balai Raya Reteh Plaman, semalam.

Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan projek di beberapa kampung seperti Kampung Pichin, Plaman Nyabet, Jenan dan Plaman Bantang membuktikan bahawa dokumentasi tanah mampu membantu pemilik memperoleh hak milik yang sah. Selain itu, geran tanah juga dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.

Dr Simon berkata, beliau akan membantu pemilik tanah memohon kerja-kerja penyukatan daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS). Beliau turut mengingatkan penduduk supaya hanya menggunakan operator Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang mempunyai ID berdaftar dengan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) bagi mengelakkan sebarang masalah dalam proses dokumentasi.

Sehubungan itu, beliau meminta biro tanah dan semua pemilik tanah bertindak secara proaktif bagi memastikan proses dokumentasi dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau turut menasihati pemilik tanah supaya tidak menjual tanah semata-mata untuk menikmati kemewahan. Sebaliknya, penjualan tanah hanya wajar dipertimbangkan sekiranya benar-benar diperlukan bagi membiayai pendidikan anak-anak sehingga ke institusi pengajian tinggi.

Sebagai sokongan kepada pelaksanaan projek tersebut, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi setiap tiga kampung, iaitu Kampung Reteh Karas, Kampung Plaman dan Kampung Mawang, untuk melaksanakan dokumentasi tanah NCR.