COSAFS 2026 bermula, perkasa agenda pertanian mampan dan keselamatan makanan Sarawak

Facebook
WhatsApp
SIMBOLIK perasmian COSAFS 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan 2026 (COSAFS 2026) di sebuah hotel di Bintulu hari ini.

BINTULU: Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan 2026 (COSAFS 2026) membuka tirainya hari ini dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Majlis itu sekali gus menandakan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sektor agromakanan serta keselamatan makanan negeri.

Kongres anjuran Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) itu berlangsung di Hotel Imperial, Bintulu dari 3 hingga 6 Ogos 2026 dengan tema ‘Menyantuni Masa Depan, Memperkasa Makanan Mampan’.

DATO’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah menyampaikan ucapan pada majlis perasmian COSAFS 2026 di Bintulu hari ini.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata COSAFS 2026 menjadi platform penting dalam menghimpunkan pakar pelbagai bidang bagi berkongsi penyelidikan terkini, membina jaringan kerjasama serta meneroka penyelesaian inovatif dalam memperkukuh pertanian mampan dan keselamatan makanan.

Beliau berkata, sebagai universiti peneraju dalam bidang pertanian dan sains berkaitan, UPM komited memperkasakan pendidikan, penyelidikan, inovasi serta kerjasama strategik bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“COSAFS 2026 menyediakan ruang untuk menterjemahkan penemuan saintifik kepada teknologi, dasar dan amalan yang mampu memberi impak kepada sektor agromakanan serta komuniti,” katanya.

Menurut beliau, UPM Sarawak terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan pertanian mampan di Borneo menerusi pelbagai inisiatif termasuk AgriHub@Gedong, yang menghubungkan hasil penyelidikan dengan penyelesaian praktikal untuk komuniti pertanian melalui kerjasama bersama kerajaan, industri dan pihak berkepentingan tempatan.

PEMETERAIAN Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPMS dan SEDC Nutreco Sdn. Bhd. pada majlis perasmian COSAFS 2026 di Bintulu hari ini.

Beliau berkata, penubuhan Sekolah Sains Veterinar dan Haiwan (SVAS) turut menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuh pendidikan veterinar serta membangunkan tenaga profesional tempatan bagi menyokong sektor ternakan dan agromakanan.

Majlis perasmian COSAFS 2026 hari ini turut menyaksikan pelancaran rasmi jenama AgriHub@Gedong, AgriHub@Layar, AgriHub@Bukit Sari dan AgriHub@Marudi, selain pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPMS dan SEDC Nutreco Sdn. Bhd.

Kerjasama tersebut bertujuan memperkukuh jaringan penyelidikan, inovasi serta pembangunan produk berkaitan sektor agromakanan melalui perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi antara institusi akademik serta industri.

Oleh Faizah Muzidi