KUCHING: Kumpulan K-pop Korea Selatan, XENEX, melihat muzik sebagai jambatan yang mampu merapatkan masyarakat daripada pelbagai latar budaya, sekali gus menggalakkan penerimaan terhadap perbezaan antara satu sama lain.
Ketika ditemu bual secara eksklusif oleh Utusan Sarawak selepas persembahan pada Malam Bandar Raya Persahabatan Antarabangsa sempena Festival Kuching 2026, XENEX berkata pertukaran muzik dan perkongsian seni mampu menghubungkan masyarakat daripada pelbagai negara serta budaya.
“Kami percaya muzik ialah satu perkara yang dapat menyatukan seluruh dunia.
“Melalui pertukaran muzik dan perkongsian seni, kita boleh menjadi lebih dekat antara satu sama lain.
“Walaupun terdapat perbezaan, penerimaan terhadap perbezaan itu boleh menjadi titik permulaan untuk membina hubungan yang lebih erat,” kata XENEX.
Berkongsi mengenai penampilan sulung mereka di Kuching, XENEX berkata peluang berkenaan memberi ruang kepada mereka untuk memperkenalkan identiti kumpulan itu kepada peminat baharu selain berkongsi budaya K-pop di peringkat antarabangsa.
“Ini merupakan kali pertama kami datang ke Kuching dan berpeluang membuat persembahan di sini.
“Tujuan utama kami adalah untuk memperkenalkan budaya K-pop kepada lebih ramai orang.
“Pada masa sama, kami juga mahu memperkenalkan XENEX kepada khalayak yang mungkin mengenali kami buat kali pertama,” jelas kumpulan itu.
XENEX turut melahirkan rasa syukur terhadap perkembangan industri K-pop yang semakin mendapat perhatian di peringkat global, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk tampil di pentas antarabangsa.
“Kami amat bersyukur menerima peluang hasil perkembangan besar budaya K-pop.
“Dengan rasa penuh penghargaan, kami mahu mempersembahkan sesuatu yang lebih baik serta menyampaikan tenaga positif kepada penonton,” tambah mereka.
Berkongsi pengalaman pertama berada di Kuching, XENEX berkata mereka teruja dapat mencuba makanan Malaysia selain mengenali masyarakat tempatan yang disifatkan sebagai mesra dan ramah.
Menurut kumpulan itu, kepelbagaian makanan tempatan yang terdapat di sini melebihi jangkaan mereka.
“Apabila datang ke Kuching, kami mencuba makanan Malaysia buat kali pertama dan terdapat begitu banyak makanan yang sedap, lebih daripada yang kami jangkakan.
“Apabila artis Korea berkunjung ke luar negara, antara perkara yang sering menjadi kebimbangan ialah makanan dan perbezaan budaya. Namun, kami menemui banyak makanan yang unik dan lazat di sini,” kata mereka.
Selain makanan, XENEX turut memuji kebersihan bandar raya Kuching serta usaha memelihara alam semula jadi.
“Kami mendapati kawasan di sini jauh lebih bersih daripada jangkaan dan kami menyukai budaya yang mementingkan kebersihan.
“Alam semula jadi di sini juga dipelihara dengan baik dan itu merupakan antara perkara yang paling kami sukai tentang Kuching,” ujar kumpulan berkenaan.
Dalam masa sama, XENEX berkongsi mengenai album baharu mereka berjudul Bucket List yang membawa mesej harapan supaya setiap individu terus berusaha mencapai impian dan matlamat dalam kehidupan.
Menurut kumpulan itu, album tersebut dihasilkan dengan harapan agar setiap orang dapat merealisasikan senarai impian masing-masing, satu demi satu.
“Dalam kehidupan, kita berusaha keras untuk mencapai pelbagai perkara dan setiap orang mempunyai senarai impian sendiri.
“Melalui album ini, kami berharap semua orang dapat mencapai impian mereka satu demi satu,” menurut XENEX.
XENEX berharap persembahan serta interaksi bersama penonton di Kuching dapat menjadi kenangan bermakna selain memberi inspirasi kepada peminat untuk terus mengejar impian masing-masing.
Kumpulan itu tampil mewakili Guro, Korea Selatan, dalam Malam Bandar Raya Persahabatan Antarabangsa yang menghimpunkan persembahan kebudayaan dari bandar raya persahabatan Kuching di Korea Selatan, China dan Jepun.
Oleh Adele Rissa





