KUCHING: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka diadakan sebelum penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada Februari tahun depan.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian peribadinya, adalah menjadi kebiasaan pilihan raya diadakan lebih awal dan bukannya menunggu sehingga tempoh DUN tamat secara automatik.
“Pilihan raya perlu diadakan menjelang tahun depan. Tempoh perkhidmatan satu penggal DUN adalah selama lima tahun, namun kalau mengikut Perlembagaan, ia bermula dari persidangan pertama DUN.

“Saya tidak fikir Premier Sarawak akan menunggu sehingga penggal itu berakhir dengan sendirinya. Biasanya ia terlalu berisiko untuk menunggu sehingga tempoh tersebut tamat. Kalau ada apa-apa yang berlaku ketika itu, sukar untuk membuat langkah pembetulan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Alumni Ummatic Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Sarawak (IIUM Alumni Ummatic Gathering in Sarawak) di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Beliau berkata, baki tempoh beberapa bulan lagi juga merupakan satu jangka masa yang singkat dalam landskap politik.
“Sekarang kita sudah memasuki bulan Ogos. September, Oktober, November dan Disember hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Dalam politik, tempoh itu sangat singkat,” katanya.
Abdul Karim bagaimanapun menegaskan, kenyataan tersebut adalah berdasarkan pemerhatian peribadinya terhadap situasi semasa.
Pada 18 Disember 2026 ini, genap lima tahun DUN Sarawak ke-12 tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.
Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027.
Oleh Shikin Mahmud



