Sukan GEMAPUTERA XVIII satukan warga PKEN seluruh negara

Facebook
WhatsApp
SEKITAR penutupan Sukan GEMAPUTRA semalam. Foto JAPEN

KUCHING: Penganjuran Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026 berjaya menyatukan warga Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dari seluruh negara, di samping membuktikan keupayaan Sarawak sebagai tuan rumah temasya sukan berskala besar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan penganjuran temasya itu amat bermakna kerana Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sekali lagi diberi penghormatan menjadi tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkannya pada 1994.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Majlis Penutupan Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026 di Wisma Melayu, semalam.

Menurut beliau, kejohanan itu bukan sekadar medan mencari juara, sebaliknya menjadi jambatan perpaduan yang mengeratkan hubungan dalam kalangan warga PKEN dari seluruh negara.

“Kita boleh membina jambatan yang menghubungkan dua tebing sungai dan kita boleh membina jalan yang menghubungkan bandar dan pekan, tetapi yang lebih penting daripada itu ialah membina jambatan yang menghubungkan manusia dengan manusia,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen semua pihak dalam menjayakan temasya yang mengangkat tema ‘Agi Idup Agi Ngelaban’, yang bukan sahaja melambangkan semangat perjuangan masyarakat Dayak, malah mencerminkan keazaman untuk terus berusaha dan tidak mudah mengalah dalam menghadapi cabaran.

Sepanjang tujuh hari penganjuran, lebih 1,000 atlet dan pegawai daripada 14 PKEN seluruh negara mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan.

Pada akhir saingan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) muncul juara keseluruhan, diikuti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di tempat kedua, manakala Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menamatkan saingan di tempat ketiga.

Sementara itu, Johor Corporation (JCorp) diumumkan sebagai tuan rumah Sukan GEMAPUTERA edisi ke-19 yang dijadualkan berlangsung pada 2028.