KUALA LUMPUR: Grab Malaysia memperkenalkan satu program untuk membantu peniaga-peniaga kecil menyesuaikan diri dengan peningkatan permintaan perkhidmatan penghantaran.
Program ‘GrabFood Small Business Programme’, katanya merangkumi tiga bidang utama — iaitu penyelesaian dalam talian, kempen pemasaran bagi mendorong lebih banyak permintaan dan keterlihatan di GrabFood, dan peluang pembelajaran serta kemajuan untuk perniagaan kecil.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata perniagaan kecil GrabFood boleh memiliki laman sesawang mereka sendiri dengan URL unik sebagai saluran jualan tambahan menerusi Grab Online Shop, yang dijadualkan dilancarkan pada Jun ini. Caj perkhidmatan 10 peratus bagi kedai dalam talian dikecualikan selama enam bulan.
Selain itu, Grab akan mengadakan promosi selama seminggu pada setiap bulan bagi mengetengahkan perniagaan-perniagaan kecil di dalam GrabFood.
“Lanjutan daripada PKP 3.0 di mana ‘dine-in’ tidak dibenarkan, Grab akan memulakan ‘GrabFood Small Business Week’ dengan promosi penghantaran percuma dari 25 Mei hingga 7 Jun, 2021, bagi membantu rakan peniaga meningkatkan keterlihatan dan pesanan mereka,” katanya.
Syarikat itu berkata program itu bertujuan untuk mendorong lebih banyak permintaan terhadap perniagaan kecil serta meningkatkan keterlihatan dengan meningkatkan trafik dan jualan perniagaan kecil.
Bagi melengkapkan perniagaan dengan ilmu pengetahuan serta maklumat, Grab akan menganjurkan siri webinar dengan topik-topik seperti bagaimana memaksimumkan keberadaan dalam talian dan menggunakan data sebagai maklumat bagi meningkatkan aliran trafik ke dalam kedai digital.
“Usaha ini adalah tepat pada masanya untuk menjadikan program #TechUntukSemua Grab lebih mudah dicapai dengan memperkasakan perniagaan kecil untuk mengakses peluang melalui ekonomi digital,” katanya.
Sementara itu Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata pandemik telah menjejaskan perniagaan makanan kecil-kecilan, dan memberi gambaran mengenai keperluan mereka dalam usaha mendepani tempoh yang serba mencabar ini.
“Selain daripada itu, kajian juga menunjukkan bahawa para pengguna cenderung untuk terus menggunakan perkhidmatan digital pada masa hadapan, walaupun dalam dunia pasca pandemik.
“Oleh demikian, kami yakin teknologi dan keupayaan kami dapat memberikan penyelesaian jangka panjang kepada perniagaan kecil bagi membantu mereka memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berevolusi,” katanya. – Bernama