MIRI: Sebuah kapal nelayan musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini semalam, namun tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kapal lain, bot serta rumah pekerja berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang sebelum anggota dari BBP Miri Sentral dengan bantuan BBP Lutong bergegas ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi didapati sebuah kapal nelayan berukuran sekitar 18.3 meter panjang dan 4.3 meter lebar sedang terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah buih pemadaman bagi menyelimuti permukaan sekitar 10,000 liter bahan api diesel yang terbakar.
“Sebanyak 18 tong foam digunakan sepanjang operasi bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya,” katanya di sini.
Beliau berkata, anggota bomba turut memecahkan lantai kapal menggunakan peralatan khas bagi membolehkan semburan buih memasuki empat kompartmen tangki diesel di bahagian bawah kapal.
Katanya,kaedah menyelimuti sepenuhnya dengan buih pemadaman kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Dalam kejadian itu, pemilik kapal, Ting Tiew Hing, 56, mengalami kecederaan melecur tahap pertama pada pipi dan lengan kanan ketika cuba memadamkan kebakaran sebelum ketibaan bomba.
“Mangsa dibawa oleh ahli keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala operasi pemadaman berjaya menghalang api daripada merebak ke kapal dan bot lain serta rumah pekerja berhampiran,” katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling





