SARATOK: Tindakan licik seorang lelaki mencuri wayar kurpum (tembaga) di tiga pencawang elektrik sekitar daerah ini akhirnya tumpas selepas dia bersama sepasang suami isteri ditahan pihak polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek dibuat oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji di pekarangan Balai Polis Betong.
Menurut beliau, kejadian berpunca daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang peniaga berusia 75 tahun pada Disember tahun lalu.
Pengadu mendapati komponen pencawang Sarawak Energy di Taman Krian Jaya, Awik-Krian telah dibuka dan wayar tembaga di dalamnya hilang, menyebabkan gangguan saluran bekalan elektrik ke kawasan perumahan tersebut.
Hasil siasatan mendalam, suspek pertama yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dan bekerja sebagai buruh mengaku melakukan jenayah berkenaan secara bersendirian.
Suspek bergerak dari Spaoh menggunakan motosikal dan menggunakan sepit pemotong (playar) untuk menceroboh serta memotong wayar tembaga sepanjang kira-kira tiga meter di pencawang Taman Krian Jaya.
Tidak berhenti di situ, suspek turut menyasarkan dua lagi pencawang elektrik masing-masing berhampiran Simpang Saratok dan Simpang Awik sebelum melarikan diri pulang ke rumahnya di Kampung Spaoh.
Hasil curian berkenaan kemudiannya dijual kepada suspek kedua dan ketiga iaitu sepasang suami isteri berusia 40 dan 38 tahun yang menjalankan perniagaan barang lusuh di Jakar, Sarikei dengan harga RM120.
DSP Mathew Manggie menambah, motif utama suspek pertama mencuri adalah bagi mendapatkan wang tunai untuk membeli bekalan dadah.
Ujian saringan air kencing mengesahkan suspek pertama positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, selain mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes curi, pencerobohan, serta penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, ujian air kencing ke atas pasangan suami isteri berkenaan didapati negatif dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431A dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah esok, 31 Julai untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.
Oleh Adi Safarman



