BAU: Tiga lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini atas pertuduhan mendatangkan cedera parah, merusuh serta memiliki senjata berbahaya berkaitan satu kejadian yang dilaporkan pada 2 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Beliau berkata, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah semasa prosiding mahkamah pada harinini, manakala mahkamah menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.
“Dua daripada tertuduh ditawarkan jaminan dengan syarat ketat termasuk jumlah jaminan yang tinggi serta penjamin tempatan. Bagaimanapun, mereka gagal memenuhi syarat tersebut dan direman di penjara.
“Seorang lagi tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan kekal ditahan di Penjara Puncak Borneo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Haide menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah kekerasan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam jenayah kekerasan, khususnya melibatkan penggunaan senjata atau objek berbahaya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi atau bersubahat dengan individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah, sambil menegaskan kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan daerah Bau terus terpelihara.




