Tukun bebola: Pelaburan jangka panjang demi kelestarian laut Sarawak

Facebook
WhatsApp

BINTULU: Di dasar laut Sarawak, ribuan struktur konkrit berbentuk kubah menjadi asas kepada satu misi besar yang mungkin tidak disedari ramai iaitu memulihkan ekosistem marin, memperkukuh sumber perikanan dan menjamin kelangsungan hidup komuniti pesisir.

Dikenali sebagai Reef Ball atau tukun bebola, struktur itu bukan sekadar konkrit yang dilabuhkan ke dasar laut.

REKA bentuk Layer Cake Reef Ball menyediakan permukaan yang luas bagi kolonisasi karang dan menjadi habitat sesuai untuk pelbagai spesies marin di kawasan pesisir.

Ia direka khas untuk meniru fungsi terumbu karang semula jadi, menyediakan tempat perlindungan, pembiakan dan pembesaran pelbagai spesies hidupan marin.

Selepas ditempatkan di dasar laut, permukaan tukun akan mula dipenuhi alga, span dan karang sebelum menjadi habitat kepada ikan, udang, ketam serta pelbagai organisma marin lain.

Proses semula jadi itu mengambil masa, namun hasilnya mampu menghidupkan semula kawasan perairan yang semakin terjejas akibat kemusnahan habitat dan aktiviti penangkapan ikan yang tidak lestari.

PELBAGAI jenis Reef Ball atau tukun tiruan dipamerkan sebagai antara inovasi pemuliharaan marin yang direka menggunakan konkrit pH neutral bagi menyediakan habitat baharu kepada hidupan laut serta menggalakkan pertumbuhan terumbu karang.

Di Sarawak, Projek Tukun Bebola dilaksanakan secara berfasa sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh biodiversiti marin dan meningkatkan sumber perikanan.

Fasa pertama yang bermula pada 2018 menyaksikan lebih 16,000 unit tukun bebola dilabuhkan di sepanjang perairan Sarawak, menjadikannya antara projek pemuliharaan marin terbesar di dunia.

Usaha itu diteruskan menerusi Fasa 2 dengan sasaran penempatan 5,000 unit tukun bebola di 100 kluster di seluruh perairan negeri.

TUKUN tiruan yang siap dibina disusun di atas kapal sebelum dihantar dan ditenggelamkan di lokasi yang dikenal pasti bagi menyokong usaha pemulihan ekosistem marin dan memperkayakan sumber perikanan.

Projek berkenaan bukan sahaja bertujuan memulihkan habitat marin, malah membantu menghalang pencerobohan bot pukat tunda di kawasan perikanan tradisional, sekali gus melindungi sumber rezeki nelayan tempatan.

Di Bintulu, sebanyak 80 unit tukun bebola yang terdiri daripada pelbagai reka bentuk telah diturunkan di perairan Kuala Nyalau-Samalaju sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memulihkan habitat marin di kawasan berkenaan.

Kejayaan projek ini turut bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak. Selain diterajui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), pelaksanaannya mendapat sokongan sektor korporat dan rakan strategik yang berkongsi komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar.

PROSES menurunkan unit tukun tiruan ke dasar laut menggunakan kren dilakukan dengan teliti bagi memastikan kedudukan tukun tiruan kekal stabil di lokasi yang telah dikenal pasti.

Bagi masyarakat pesisir, kejayaan projek tukun bebola tidak diukur pada bilangan struktur yang dilabuhkan, tetapi pada perubahan yang berlaku beberapa tahun kemudian apabila hasil tangkapan kembali meningkat dan laut kembali dipenuhi kehidupan.

Dalam erti kata lain, setiap tukun yang ditempatkan di dasar laut bukan sekadar struktur konkrit, tetapi satu pelaburan jangka panjang untuk memastikan khazanah laut Sarawak terus terpelihara dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Oleh Carolyne Utih