306 penerima terima surat hak milik tanah SALCRA di Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
DATUK Len Talif Salleh pada majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah bagi Kawasan Pembangunan SALCRA Wilayah Sri Aman sempena sambutan 50 Tahun SALCRA di Kilang Kelapa Sawit 2 Merindun, hari ini. Foto: JTS Sarawak

LUBOK ANTU: Seramai 306 penerima daripada 13 rumah panjang menerima surat hak milik tanah bagi kawasan pembangunan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di Wilayah Sri Aman sempena sambutan Jubli Emas Ke-50 SALCRA, di Kilang Kelapa Sawit 2 Merindun, dekat sini hari ini.

DATUK Len Talif Salleh pada majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah bagi Kawasan Pembangunan SALCRA Wilayah Sri Aman sempena sambutan 50 Tahun SALCRA di Kilang Kelapa Sawit 2 Merindun, hari ini. Foto: JTS Sarawak

Majlis penyerahan yang berlangsung dengan kerjasama SALCRA dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sri Aman itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Program berkenaan merupakan antara pengisian utama Sambutan 50 Tahun SALCRA yang menzahirkan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh hak pemilikan tanah serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.

Majlis itu turut menjadi platform bagi mengiktiraf pemilikan sah tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dibangunkan di bawah kawasan pembangunan SALCRA, sekali gus memberikan jaminan keselamatan pemilikan kepada peserta.

Sebanyak 417 lot tanah melibatkan keluasan keseluruhan 903 hektar telah didaftarkan dengan melibatkan seramai 337 pemilik tanah berdaftar daripada tiga estet pembangunan SALCRA iaitu Batang Ai, Batu Kaya dan Lemanak.

Daripada jumlah tersebut, 34 lot tanah seluas 31 hektar di bawah Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak diserahkan kepada 34 penerima membabitkan 37 pemilik tanah berdaftar daripada sebuah rumah panjang.

Sementara itu, baki 383 lot tanah berkeluasan 872 hektar di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak diserahkan kepada 272 penerima yang melibatkan 300 pemilik tanah berdaftar daripada 12 rumah panjang.

Majlis berkenaan melibatkan kawasan pembangunan SALCRA di Parlimen Lubok Antu, merangkumi DUN Batang Ai dan DUN Engkilili.

Menurut JTS, inisiatif pengeluaran surat hak milik tanah itu selaras dengan Ordinan SALCRA 1976 yang memberi penekanan kepada penyukatan, pengesahan dan pendaftaran tanah NCR secara terancang serta mampan.

Sejak 2020, SALCRA turut mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi membolehkan Kumpulan Jurukur SALCRA menjalankan kerja pengukuran kadaster, sekali gus mempercepatkan proses pengukuran dan pengesahan tanah di kawasan pembangunan agensi berkenaan.

Selain majlis penyerahan surat hak milik tanah, program tersebut turut diserikan dengan Pameran Program Jangkauan 50 Tahun SALCRA yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, anak syarikat SALCRA dan sektor swasta.

Antara pengisian pameran ialah kaunter perkhidmatan pembangunan peserta, khidmat teknikal dan kejuruteraan, pemasaran produk, promosi baja organik, anak benih kelapa sawit, koperasi serta kemudahan latihan dan pembangunan kapasiti.

Penganjuran program itu dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar melalui pengiktirafan sah hak milik tanah NCR, mengurangkan pertikaian berkaitan pemilikan tanah, memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan serta meningkatkan keyakinan peserta terhadap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh SALCRA.

Oleh Adi Safarman