BEKENU: Kampung Kayu Kapor berpotensi diangkat sebagai destinasi pelancongan desa berasaskan ternakan kerbau menerusi cadangan pembinaan sebuah menara tinjau yang membolehkan pengunjung melihat sendiri kehidupan haiwan itu di habitat semula jadinya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, kampung berkenaan sememangnya terkenal sebagai kawasan ternakan kerbau sejak turun-temurun dan memiliki keunikan yang wajar dipelihara serta dimanfaatkan sebagai produk pelancongan.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini turut melaksanakan projek pemberian kerbau kepada penduduk melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai usaha memperkukuh Kampung Kayu Kapor sebagai kawasan ternakan kerbau rasmi di Bekenu.
“Kampung Kayu Kapor memang menjadi kawasan ternakan kerbau sejak dahulu lagi. Kita mahu meneruskan usaha ini dengan mengangkatnya sebagai kawasan ternakan kerbau rasmi melalui projek pemberian kerbau kepada penduduk.
“Pada masa sama, kita turut mencadangkan pembinaan sebuah menara tinjau supaya pelawat dapat melihat sendiri kerbau yang diternak secara bebas serta memahami cara hidup dan habitatnya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Rosey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, berkata pembangunan produk pelancongan berasaskan komuniti itu bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelancong ke Bekenu, malah membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan, penjualan produk tempatan dan penyediaan perkhidmatan pelancongan.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu bersedia menerima perubahan serta berfikiran terbuka agar dapat bergerak seiring dengan arus pembangunan di kawasan luar bandar.

“Jika kita tidak bersedia membuka minda dan merebut peluang yang ada, masyarakat akan ketinggalan. Sebaliknya, kita mahu penduduk bersama-sama memanfaatkan potensi kampung ini bagi meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Kayu Kapor, Amut berkata, cadangan pembinaan menara tinjau itu diyakini mampu menjadi tarikan baharu pelancongan desa di Bekenu, sekali gus memperkenalkan keunikan kampung berkenaan kepada pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
“Kami amat mengalu-alukan cadangan yang diusahakan Datuk Rosey Yunus dan berterima kasih atas keprihatinan beliau terhadap pembangunan kampung ini.
“Hari ini, kami diberi taklimat mengenai cadangan projek tersebut oleh Pejabat Daerah Subis sebelum dibawa melawat tapak cadangan pembinaan menara tinjau bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Di kawasan ini terdapat hampir 400 ekor kerbau. Pada waktu siang, khususnya sebelah pagi, haiwan ini agak sukar dilihat kerana berlindung di kawasan belukar. Bagaimanapun, menjelang petang kebanyakan kerbau akan keluar berkeliaran di sekitar kampung, sekali gus menawarkan pemandangan unik kepada pengunjung,” katanya. Oleh Adum Liu




