Kuching tuan rumah Diabetes Asia 2026 Oktober ini

Facebook
WhatsApp
POSTER Persidangan Diabetes Asia 2026 (DAC 2026) yang akan berlangsung di voco Kuching by IHG dari 15 hingga 17 Oktober 2026.

KUCHING: Di sebalik peningkatan jumlah penghidap diabetes yang kini dianggarkan mencecah 4.75 juta orang dewasa di Malaysia, Kuching bakal menggalas peranan penting sebagai hab perbincangan serantau apabila menjadi tuan rumah Persidangan Diabetes Asia 2026 (DAC 2026) pada Oktober ini.

Persidangan itu akan menghimpunkan pakar diabetes antarabangsa, pakar tempatan, penyelidik dan profesional kesihatan bagi membincangkan perkembangan terkini dalam pencegahan, rawatan serta penjagaan jangka panjang pesakit diabetes.

Dianjurkan oleh Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) dengan sokongan Business Events Sarawak (BESarawak), DAC 2026 merupakan acara utama dalam siri Continuing Professional Development (CPD) yang telah memperkasakan pendidikan diabetes untuk profesional kesihatan sejak 2002.

Kini memasuki edisi ke-23, persidangan hibrid selama tiga hari itu akan berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober 2026 di voco Kuching by IHG, menghimpunkan profesional kesihatan, penyelidik, pembuat dasar, pemimpin industri dan pengamal kesihatan bersekutu dari Malaysia serta seluruh dunia.

Para peserta boleh menyertai persidangan sama ada secara fizikal atau maya bagi menggalakkan kerjasama, perkongsian ilmu serta perkembangan terkini dalam pencegahan, pengurusan dan penjagaan diabetes.

Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), kira-kira 21.1 peratus rakyat Malaysia berusia antara 20 hingga 79 tahun menghidap diabetes, bersamaan sekitar 4.75 juta individu.

Di peringkat global pula, penyakit itu dianggarkan menjejaskan 589 juta orang dewasa dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 853 juta menjelang 2050, sekali gus menekankan kepentingan pendidikan profesional berterusan, kerjasama saintifik dan penjagaan berasaskan bukti.

Pengerusi Persidangan Diabetes Asia 2026, Datuk Mustaffa Embong berkata, perkembangan pesat inovasi dalam penjagaan diabetes menjadikan pembelajaran profesional secara berterusan lebih penting berbanding sebelum ini.

“Penjagaan diabetes berkembang lebih pantas berbanding sebelum ini. Daripada penemuan ubat baharu dan teknologi kesihatan digital hinggalah kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai penyakit ini, profesional kesihatan perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan agar pesakit mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemajuan tersebut.

“Selama lebih dua dekad, Siri Continuing Professional Development NADI komited memperkukuh penjagaan diabetes di Malaysia dan rantau ini. Kami berbesar hati membawa Diabetes Asia 2026 ke Kuching bagi membolehkan pakar tempatan dan antarabangsa membina kerjasama baharu, mencetuskan inovasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit diabetes,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2008, Persidangan Diabetes Asia menjadi platform bagi memperkasa penjagaan diabetes dalam kalangan masyarakat Asia menerusi pertukaran ilmu saintifik, kerjasama pelbagai disiplin dan pendidikan perubatan berterusan.

Persidangan kali ini turut mendapat sokongan kerajaan Sarawak melalui BESarawak, sekali gus mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai destinasi pilihan bagi persidangan perubatan dan saintifik bertaraf antarabangsa.

DAC 2026 akan menampilkan pakar dari Hong Kong, India, New Zealand, Australia, Filipina, Belgium, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat, selain kira-kira 30 pakar Malaysia dalam bidang endokrinologi, kardiologi, nefrologi, endokrinologi pediatrik, oftalmologi, psikiatri, pemakanan, farmasi dan pendidikan diabetes.

Program saintifik merangkumi syarahan plenari, simposium, perbincangan kes pakar dan sesi Meet-the-Professor yang menyentuh perkembangan terkini dalam pengurusan obesiti, terapi GLP-1, teknologi diabetes, perlindungan kardiovaskular dan buah pinggang, perubatan tepat, pemakanan, kesihatan mental, diabetes pediatrik serta rawatan baharu.

Turut diadakan ialah pembentangan kertas penyelidikan yang memberi peluang kepada penyelidik membentangkan hasil kajian klinikal dan saintifik berkaitan diabetes serta komplikasinya.

Penyertaan terbaik akan menerima Anugerah Pembentangan Lisan Terbaik dan Anugerah Poster Terbaik dengan hadiah wang tunai sehingga RM3,000, manakala penghantaran abstrak dibuka sehingga 1 September 2026.

Mustaffa berkata, penganjuran persidangan itu di Sarawak mencerminkan kedudukan negeri ini yang semakin kukuh sebagai destinasi antarabangsa bagi pertukaran ilmu dan pembangunan profesional.

Beliau berkata, selain perkongsian ilmu, para delegasi juga berpeluang menikmati keunikan budaya dan hospitaliti Sarawak sambil menyumbang kepada pertumbuhan industri acara perniagaan negeri.

Pendaftaran bagi penyertaan secara fizikal dan maya masih dibuka dengan kadar yuran pendaftaran awal sehingga 1 September 2026.