FA bimbang rancangan FIFA jual pegangan kejohanan utama

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto Agensi

LONDON: Persatuan Bola Sepak England (FA) menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjual pegangan badan itu dalam kejohanan utamanya, lapor PA Media/dpa.

Pada Selasa, FIFA mengumumkan cadangan untuk menubuhkan sebuah syarikat swasta bagi mengendalikan kejohanan-kejohanannya, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan keluarga Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pengumuman itu mencetuskan bantahan keras daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), yang menegaskan bahawa Piala Dunia bukan aset yang boleh diperdagangkan. UEFA turut memberi amaran bahawa langkah itu berpotensi menyebabkan konfederasi berkenaan memboikot kejohanan tersebut.

“Kami sama sekali tidak dimaklumkan mengenai cadangan ini dan tidak mempunyai maklumat terperinci, termasuk kandungan sebenar cadangan tersebut serta syarat-syarat yang berkaitan,” kata FA dalam satu kenyataan hari ini.

“Berdasarkan maklumat terhad yang kami terima, kami amat bimbang terhadap kekurangan ketelusan dari segi proses dan tadbir urus sehingga cadangan ini dikemukakan, selain implikasi dari aspek substantif serta prinsip yang terlibat.

“Apabila cadangan itu dikongsikan secara menyeluruh dan telus seperti yang dijanjikan oleh FIFA, kami akan menyatakan pendirian kami dengan jelas serta memberikan ulasan lanjut,” menurut kenyataan itu. – Bernama

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos