Pusat Sains Sarawak lahir generasi STEM pacu ekonomi masa depan Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Dato Sri Roland Sagah Wee Inn meninjau ruang pameran interaktif sempena majlis pelancaran Pusat Sains Sarawak di Petra Jaya, Kuching, hari ini.

PETRA JAYA: Pusat Sains Sarawak bakal menjadi platform utama dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai persediaan memenuhi keperluan ekonomi berasaskan inovasi selaras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pusat berkenaan bukan sekadar sebuah bangunan, sebaliknya berfungsi sebagai ruang pembelajaran interaktif yang menghubungkan pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat bagi menyediakan tenaga kerja masa depan Sarawak.

DATO Sri Roland Sagah Wee Inn ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Sains Sarawak hari ini.

Menurut beliau, Pusat Sains Sarawak akan menjadi sebuah ‘living classroom’ yang membolehkan pelajar meneroka ilmu sains menerusi pengalaman pembelajaran secara praktikal, sekali gus memupuk minat terhadap STEM sejak usia muda.

“Ia akan memperkasa guru dengan sumber pembelajaran dan teknologi interaktif, selain membuka peluang kepada anak-anak Sarawak mendalami bidang robotik, pengaturcaraan, bioteknologi serta tenaga boleh baharu sebagai persediaan menghadapi pekerjaan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Sains Sarawak, di sini, hari ini.

Jelasnya, pembangunan bakat pada setiap peringkat merupakan asas penting dalam merealisasikan ekonomi Sarawak yang dipacu inovasi dan teknologi.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam merealisasikan tiga teras utama PCDS 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, Pusat Sains Sarawak akan memacu pembangunan ekonomi menerusi inovasi dan modal insan, di samping memastikan ilmu sains lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

“Pusat ini juga akan menghubungkan sains dengan biodiversiti serta teknologi hijau bagi menyokong agenda pembangunan mampan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan STEM serta inovasi sehingga merealisasikan pembinaan Pusat Sains Sarawak.

Beliau turut menghargai sumbangan bekas Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin yang meletakkan asas kepada penubuhan pusat berkenaan.

Roland turut mengiktiraf peranan rakan strategik dari dalam dan luar negara termasuk Pusat Sains Singapura, Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), Borneo Development Corporation, para pendidik, kontraktor, perunding serta warga Pusat Sains Sarawak yang menjayakan projek tersebut.

“Pusat Sains ini berdiri hasil usaha bersama pemimpin, pendidik, rakan strategik dan masyarakat yang percaya kepada kuasa sains, teknologi dan inovasi dalam membentuk masa depan Sarawak,” katanya.

Pusat Sains Sarawak dibangunkan dengan kos kira-kira RM239 juta di atas tapak seluas 4.44 hektar di Jalan Stadium, Petra Jaya.

Pusat sains lima tingkat itu bakal menjadi hab pembelajaran interaktif yang menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan dan pameran bagi memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Oleh Afiq Sallehi