LIMBANG: Kerjasama erat antara polis dan masyarakat menjadi elemen penting dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Daerah Limbang terus terpelihara, khususnya dalam menangani pelbagai cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mampu melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan secara bersendirian tanpa sokongan dan kerjasama daripada masyarakat.
Beliau berkata, hubungan baik antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang dengan pemimpin masyarakat akan terus diperkukuh menerusi pelbagai program libat urus bersama komuniti.
“Antara usaha yang dilaksanakan termasuk Program Libat Urus Komuniti, rondaan bersama komuniti setempat, Program Pencegahan Jenayah secara berkala, ceramah kesedaran berkaitan penipuan dalam talian dan penyalahgunaan dadah, selain memperkukuh saluran komunikasi antara pemimpin masyarakat dengan balai polis berhampiran bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dilakukan dengan pantas.
“Kerjasama ini penting bagi membantu pihak polis mengambil tindakan awal terhadap sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya pada Perjumpaan Bersama Ketua Masyarakat Daerah Limbang hari ini.
Menurut Parum, program berkenaan menjadi platform untuk bertukar pandangan, mengenal pasti isu keselamatan setempat serta mencari penyelesaian terbaik secara bersama demi kesejahteraan penduduk di Daerah Limbang.
Beliau berkata, keadaan keselamatan di Daerah Limbang ketika ini berada dalam keadaan terkawal, namun masyarakat tidak boleh mengambil mudah terhadap sebarang ancaman yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, antara isu yang memerlukan perhatian bersama termasuk jenayah harta benda seperti pecah rumah dan kecurian, penipuan dalam talian atau jenayah komersial, penyalahgunaan dadah, kes keganasan rumah tangga serta jenayah melibatkan golongan rentan.
“Selain itu, isu keselamatan jalan raya, pematuhan undang-undang lalu lintas serta penyebaran berita palsu dan maklumat tidak sahih melalui media sosial turut memerlukan kerjasama erat antara masyarakat dengan pihak polis.
“Peranan masyarakat sebagai mata dan telinga pihak berkuasa amat penting dalam membantu menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian atau ancaman keselamatan,” ujarnya.
Parum berkata, pendekatan pencegahan melalui kerjasama komuniti dapat membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan pihak polis dalam menjaga keamanan.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang DSP Peter Jumat, Temenggong Willie Marum Liaw, Temenggong Leong Boong Ming, Pemanca Sahat Bagol, Pemanca Chua Beng Soon, Penghulu Dulahpi Bakar, Penghulu Jamil Bakar, Penghulu Yusop Dollah, Penghulu Zahedi Asol, Penghulu Naim @ Ahmad Mail, Penghulu Larry Siga dan Penghulu Unong Ketit.
Oleh Adeng Edrus





