Joao Pedro ‘terlalu lapar’ mahu buktikan kemampuan, Alonso kagum aksi cemerlang

Facebook
WhatsApp
PENYERANG Chelsea, Joao Pedro, melakukan rembatan untuk menjaringkan gol ketika perlawanan bola sepak Sydney Super Cup antara Chelsea FC dan Western Sydney Wanderers di Stadium Australia, Sydney, pada 28 Julai 2026. Foto AFP

SYDNEY, Australia: Penyerang Brazil, Joao Pedro, disifatkan sebagai “terlalu lapar” untuk membuktikan kemampuannya selepas tersisih daripada skuad Piala Dunia apabila meledak hatrik pantas dalam aksi pramusim pertama Chelsea sehingga memukau pengurus baharu, Xabi Alonso.

Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Chelsea dari Brighton & Hove Albion setahun lalu dan menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan pada musim pertamanya di Stamford Bridge, sekali gus dipilih sebagai Pemain Terbaik Musim oleh penyokong kelab.

Bagaimanapun, ketajamannya di hadapan gawang tidak mencukupi untuk melayakkannya ke dalam skuad Brazil bagi menghadapi Piala Dunia.

Alonso berkata, Joao Pedro yang menjaringkan hatrik dalam tempoh sembilan minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika Chelsea menewaskan Western Sydney Wanderers 6-4 pada Selasa, mempamerkan semangat luar biasa sepanjang sesi latihan.

“Dia sangat lapar. Joao benar-benar berazam untuk mengharungi musim yang hebat.

“Selepas musim lalu yang cemerlang dengan menjaringkan banyak gol, saya fikir dia mahu terus menjaringkan lebih banyak gol. Namun, kami perlu membantunya kerana dia tidak boleh melakukannya seorang diri.

“Dia mempunyai rakan sepasukan yang perlu berkongsi semangat yang sama untuk menjaringkan gol. Ia bukan hanya tanggungjawab penyerang semata-mata. Setiap kali kami menang dan penyerang kami menjaringkan gol, saya gembira,” katanya.

Chelsea dilaporkan mahu melepaskan beberapa pemain di bahagian serangan selepas ketibaan pemain tengah menyerang, Morgan Rogers dari Aston Villa, namun Joao Pedro hampir pasti bukan antara pemain yang akan dilepaskan.

Joao Pedro berkata, dia berasa lebih bebas bermain di bawah kendalian bekas bintang Liverpool itu, yang diberi tanggungjawab mengembalikan Chelsea ke kelompok elit selepas sekadar menamatkan musim lalu di tangga ke-10.

“Dia seorang jurulatih yang sangat terbuka. Kami banyak berbincang dan saya berasa bebas.

“Apabila bermain di bahagian hadapan, saya banyak bergerak dan dia memberi kebebasan itu kepada saya. Kadangkala saya bermain di sebelah kiri, kadangkala di bahagian tengah. Itulah yang saya pelajari daripadanya.

“Saya mahu mencapai tahap tertinggi bersama pasukan. Saya sentiasa mahu menjaringkan gol untuk membantu pasukan dan berharap musim depan akan lebih baik daripada musim lalu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyerang Chelsea, Liam Delap, bergelut untuk mencipta peluang dalam pasukan yang dibarisi ramai pemain muda sebelum digantikan pada minit ke-60.

Delap dikaitkan dengan perpindahan ke Everton, namun Alonso menegaskan pemain muda England itu berada di landasan yang tepat.

“Saya melihat dia berada dalam keadaan baik, bersemangat untuk mencapai tahap kecergasan dan rentak permainan terbaik. Dia menunjukkan perkembangan yang positif,” katanya.

Walaupun mengakui masih terdapat kelemahan di bahagian pertahanan dan kesan kurangnya kecergasan pada awal musim, Alonso berpuas hati dengan aksi sulungnya mengendalikan Chelsea kerana tiada kecederaan serius dilaporkan.

“Semakin banyak situasi sukar yang kami tempuhi dan berjaya kami atasi, semakin baik pasukan ini akan menjadi. Oleh itu, perlawanan persahabatan ini amat berguna,” katanya.

Jelajah pramusim Chelsea diteruskan dengan aksi menentang seteru London, Tottenham Hotspur, di Sydney pada Sabtu sebelum menghadapi perlawanan seterusnya di Hong Kong, Indonesia dan Malaysia. – AFP