Dua buruh ditahan miliki syabu di Selangau

Facebook
WhatsApp
DUA LELAKI DITAHAN...Selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di tepi jalan berhampiran jejambat Jalan Selangau-Mukah, pagi semalam. Foto IPD Mukah

MUKAH: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di tepi jalan berhampiran jejambat Jalan Selangau-Mukah, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 37 tahun itu ditahan sekitar 10.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek pertama menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas ialah 0.40 gram. Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah berbahaya.

“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh direman selama dua hari sehingga 31 Julai ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Muhamad Rizal berkata, polis akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu menerusi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau di balai polis berhampiran.

Oleh Akun Giman