Dua ditahan disyaki terbabit penyalahgunaan dadah

Facebook
WhatsApp
TANGKAPAN DADAH... Dua individu yang ditangkap atas kesalahan dadah di Lawas.

LAWAS: Dua lelaki tempatan ditahan dalam dua operasi berasingan selepas disyaki terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah di daerah ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata dalam kes pertama, sepasukan polis menahan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki berusia 28 tahun yang tidak bekerja pada kira-kira 3.00 petang, Ahad lalu di tepi Jalan Trusan, Lawas.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemukan sebuah kotak rokok yang mengandungi satu paket plastik berisi hablur kristal jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 6.20 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan rekod lampau menunjukkan suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu lagi kes, beliau berkata, sepasukan polis menahan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun pada kira-kira 2.30 petang, Jumaat lalu di tepi jalan di bandar Lawas.

Menurutnya, lelaki yang bekerja sebagai buruh itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Pemeriksaan terhadap suspek dan kenderaan tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Oleh Adeng Edrus