WASHINGTON: Seorang anggota Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) semalam berkata beliau memulakan siasatan terhadap FIFA berhubung kemungkinan berlaku rasuah dan pertukaran balasan (quid pro quo) antara badan bola sepak dunia itu dengan pentadbiran Trump, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam surat yang dihantar lewat Ahad kepada Presiden FIFA Gianni Infantino, anggota Dewan Perwakilan Jamie Raskin, yang merupakan anggota kanan Parti Demokrat dalam Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan, berkata siasatan itu akan meneliti “kempen berterusan” FIFA untuk mendapatkan layanan menguntungkan daripada Presiden AS Donald Trump, termasuk pengguguran kes rasuah berprofil tinggi di AS yang melibatkan badan induk bola sepak dunia itu.
“Quid pro quo terkini yang diatur oleh FIFA dan Presiden Trump bukanlah jenayah tanpa mangsa,” kata Raskin.
Beliau mendakwa FIFA menggunakan hubungannya dengan pentadbiran Trump untuk melakukan pemerasan harga yang menyalahi undang-undang serta taktik jualan mengelirukan berkaitan tiket Piala Dunia.
Menurut Raskin, siasatan itu turut meneliti tadbir urus FIFA di bawah kepimpinan Infantino, termasuk dakwaan bahawa badan itu melemahkan perlindungan etika dalaman ketika berusaha menjalinkan hubungan lebih rapat dengan Trump.
Anggota kongres itu turut menuduh pentadbiran Trump menghentikan penguatkuasaan antirasuah berkaitan FIFA selepas pendakwaan Jabatan Kehakiman sebelum ini mendedahkan skim rasuah antarabangsa yang telah lama berlaku dan dikaitkan dengan hak media bola sepak.
Raskin berkata, siasatan Jabatan Kehakiman sebelum ini mendedahkan rasuah dan sogokan bernilai lebih AS$200 juta yang melibatkan defendan dari lebih 20 negara. Beliau mendakwa, walaupun beberapa sabitan berjaya diperoleh, pentadbiran Trump kemudiannya menggugurkan pendakwaan, sekali gus membolehkan individu yang telah disabitkan kesalahan dibebaskan.
Siasatan itu juga akan memberi tumpuan kepada amalan penjualan tiket Piala Dunia oleh FIFA yang menurut Raskin melibatkan kenaikan harga, penetapan harga dinamik dan dasar yang membenarkan penurunan taraf tempat duduk selepas pembelian.
Raskin meminta dokumen serta komunikasi berkaitan sebarang hadiah, bayaran atau manfaat lain yang didakwa diberikan FIFA kepada Trump atau sekutunya, selain rekod hubungan FIFA dengan pegawai kerajaan AS serta amalan penjualan tiket badan itu.
Beliau turut meminta rekod pelawat ke pejabat FIFA di Menara Trump dan meminta Infantino hadir di hadapan jawatankuasa berkenaan untuk sesi temu bual yang ditranskripsikan.
“Selain itu, bagi membantu siasatan ini, kami meminta anda, ketika berada di Amerika Syarikat, hadir untuk sesi temu bual yang ditranskripsikan bersama jawatankuasa ini. Sila hubungi kakitangan Demokrat dalam jawatankuasa selewat-lewatnya 5.00 petang pada 9 Ogos 2026 untuk menjadualkan temu bual ini,” kata Raskin dalam surat itu. – Bernama





