Tedung hitam ditemui bawah kabinet televisyen

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Samarahan menangkap seekor ular tedung hitam sepanjang kira-kira satu meter yang ditemui bersembunyi di bawah kabinet televisyen di sebuah rumah di Fasa 3, Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan, semalam. Foto APM Samarahan.

SAMARAHAN: Kehadiran seekor ular tedung hitam di ruang tamu rumah di Fasa 3, Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan, mencetuskan kebimbangan penghuni sebelum Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Samarahan berjaya menangkap reptilia itu semalam.

Jurucakap APM Samarahan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan Skuad Bravo ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota menjalankan pemeriksaan dan berjaya menemui ular tedung hitam sepanjang kira-kira satu meter yang bersembunyi di bawah kabinet televisyen dalam tempoh kira-kira tiga minit.

“Ular itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit sebelum dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan operasi berjaya diselesaikan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, APM Samarahan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan liar, terutama ketika cuaca panas, selain memastikan kawasan kediaman sentiasa bersih dan bebas daripada tempat yang boleh menjadi lokasi persembunyian reptilia.

Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan boleh menghubungi APM Samarahan di talian 082-672999 atau talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.