Ekonomi Biru Sarawak berteraskan kelestarian alam sekitar

Facebook
WhatsApp
EKONOMI BARU...Awang Tengah dan hadirin pada Program Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) Dalam Penjagaan Alam Sekitar Ke Arah Pembangunan Mampan siri 1/2026 Daerah Limbang di Dewan St Edmund Limbang.

LIMBANG: Sarawak membangunkan ekonomi biru dengan mengamalkan pendekatan holistik terhadap dasar dan pengurusan bagi merealisasikan pertumbuhan ekonomi berasaskan lautan yang mampan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi menjayakan agenda ekonomi biru, termasuk memberi tumpuan kepada pemuliharaan ekosistem bakau bagi mengurangkan pelepasan karbon serta memperkukuh ekonomi komuniti pesisir.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan dana bagi menempatkan tukun bebola tiruan di lokasi strategik sepanjang pesisir pantai dari Tanjung Datu hingga ke Lawas.

“Kita di Sarawak, melalui Perbadanan Perhutanan (SFC), telah melabuhkan tukun bebola tiruan di perairan negeri ini, termasuk di Lawas hingga ke penghujung utara Sarawak. Inisiatif ini antara yang terbesar di dunia dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

“Ia penting bagi mencegah pencerobohan, memperkayakan sumber perikanan serta menyokong pembangunan ekonomi biru,” katanya ketika berucap pada Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam Penjagaan Alam Sekitar ke Arah Pembangunan Mampan Siri 1/2026 Daerah Limbang di Dewan St Edmund, Limbang, pada Isnin.

Tambah beliau, kerajaan Sarawak terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air bersih, selain membuka peluang ekonomi baharu di seluruh negeri termasuk di Daerah Limbang dan Lawas.

Beliau menegaskan setiap pembangunan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, hutan, sungai dan biodiversiti merupakan aset strategik yang perlu terus dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang.

Oleh Adeng Edrus