PBT Sarawak digesa perkasa projek tenaga boleh diperbaharui berasaskan sisa buangan

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan cenderamata kepada salah seorang penceramah sempena Program Seminar Pemerkasaan KMKK Dalam Penjagaan Alam Sekitar Ke Arah Pembangunan Mampan Siri 1/2026 Daerah Limbang.

LIMBANG: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak perlu memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui berasaskan bahan buangan seperti sisa pepejal.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dengan perkembangan teknologi ketika ini, bahan buangan termasuk sisa plastik boleh dimanfaatkan bagi melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui.

Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menangani cabaran krisis tenaga global selain melaksanakan langkah penjimatan tenaga.

“Majlis-majlis daerah perlu bekerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan lain bagi memproses bahan buangan plastik. Dengan teknologi yang ada sekarang, bahan tersebut boleh digunakan untuk tujuan penurapan jalan.

“Bahan buangan plastik boleh dimanfaatkan melalui teknologi sedia ada. Sebagai contoh, terdapat projek perintis di Lawas apabila jalan di hadapan Centex Lawas dibina menggunakan campuran bahan buangan plastik. Kini, Sarawak memberi penekanan kepada konsep menukar bahan buangan kepada tenaga, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Dalam Penjagaan Alam Sekitar Ke Arah Pembangunan Mampan Siri 1/2026 Daerah Limbang di Dewan St Edmund Limbang, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua serta Menteri Perdagangan, Industri dan Pelaburan itu berkata, dalam konteks penjagaan alam sekitar, peranan KMKK semakin penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat.

Menurutnya, KMKK merupakan pemimpin yang paling hampir dengan komuniti serta lebih memahami keadaan dan keperluan di kawasan masing-masing.

Katanya, KMKK menjadi pihak terawal yang mengetahui sekiranya berlaku pencemaran sungai, pembakaran terbuka, pembuangan sisa secara haram, pencerobohan kawasan hutan atau aktiviti pembangunan yang berpotensi menjejaskan alam sekitar.

Jelasnya, maklumat yang disalurkan melalui KMKK membolehkan agensi kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani isu berkenaan.

Menurut beliau, KMKK bukan sekadar wakil masyarakat, malah merupakan rakan strategik kerajaan dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

Oleh Adeng Edrus