KUCHING, 16 November: Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban yang menetap di Kuching dan Samarahan diseru supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13), 12 Disember ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sokongan rakyat amat penting bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, sekali gus membolehkan agenda pembangunan Sarawak dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan gabungan parti tempatan yang diterajui pemimpin Sarawak serta memahami keperluan, aspirasi dan kepentingan rakyat negeri ini.
“Sejak penubuhan GPS pada 2018, Sarawak terus mencatat perkembangan ekonomi yang memberangsangkan. Pendapatan negeri diunjurkan meningkat kepada RM15.01 bilion pada 2027 berbanding RM5.9 bilion pada 2016,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Keluarga Bukit Saban (Warga Kuching/Samarahan) anjuran Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban di Kompleks UNIFOR, semalam.
Uggah yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Saban berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, membawa pendekatan pembangunan yang merangkumi semua kaum tanpa mengira latar belakang.
Katanya, pendekatan inklusif itu penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang menikmati hasil pembangunan negeri, selain terus memperkukuh keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Mengulas pembangunan di kawasan Bukit Saban, beliau berkata, kerjasama dengan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan penduduk serta memperluas akses kepada pendidikan tinggi untuk generasi muda.
Menurutnya, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) merupakan antara inisiatif penting yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Bukit Saban untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa dibebani kos pendidikan.
Dalam pada itu, pembangunan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi Bahagian Betong, khususnya dengan memperluas akses pasaran bagi produk tempatan.
“Apabila penerbangan rasmi dijangka bermula pada 2027, ia akan membuka peluang lebih luas kepada pengusaha tempatan untuk memasarkan dan mengeksport produk dari Betong ke destinasi luar dengan lebih mudah,” katanya.
Potensi tersebut turut disokong oleh pembangunan Agropark Bebuling dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Spaoh yang akan membantu memperkukuh rantaian pengeluaran serta pemasaran hasil pertanian tempatan.
Selain itu, Uggah berkata, sektor pelancongan di Bukit Saban dan kawasan sekitarnya juga berpotensi untuk dikembangkan menerusi tarikan seperti Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok dan Empangan Batang Ai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada hampir 600 pengundi DUN Bukit Saban yang menetap di Kuching dan Samarahan kerana meluangkan masa menghadiri majlis berkenaan.
Beliau berharap hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga Bukit Saban di perantauan terus dipelihara. Pada masa sama, beliau mengingatkan mereka supaya pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN13, 12 Disember ini.
Oleh Adi Safarman





