Enam pelajar Swinburne Sarawak sapu tiga anugerah cabaran reka bentuk IC

Facebook
WhatsApp
PELAJAR Swinburne University of Technology Sarawak Campus bersama rakan sepasukan selepas mengungguli tiga anugerah pada Cabaran Reka Bentuk IC SMD 2026 yang berlangsung di Swinburne Sarawak dari 16 hingga 18 Julai lalu.

KUCHING: Enam pelajar kejuruteraan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak membuktikan keupayaan mereka dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) apabila membolot tiga anugerah utama pada Cabaran Reka Bentuk IC SMD 2026 yang berlangsung selama tiga hari di sini.

Mereka masing-masing muncul juara, naib juara pertama dan penerima Anugerah Pilihan Rakyat dalam pertandingan yang menghimpunkan 15 pasukan dari institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di seluruh Sarawak.

Pasukan juara terdiri daripada pelajar Swinburne Sarawak, Dickson Teo Shoon Jie dan Ting Zhi Xiang, bersama Belle Yii Pei En dan Lee Lik Shan dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hua Miri.

Tempat naib juara pertama pula diraih Christopher Wong Chuan Yek dan Joel Tiong Wei Chuan dari Swinburne Sarawak, bersama Samuel Kong Bang Kiet dan Isaac Cham Zi Xuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart, Sibu.

Darren Wong Chee Liang dan Eugene Lee Hong Yi dari Swinburne Sarawak, bersama Muhammad Labeeb Aryan Mohd Lokman dan Alicia Lim Gzhi Qinn dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, pula memenangi Anugerah Pilihan Rakyat.

Pertandingan anjuran Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor itu berlangsung dari 16 hingga 18 Julai lalu dengan cabaran mereka bentuk dan membangunkan kenderaan pengikut garisan sepenuhnya analog.

Peserta diuji dalam aspek elektronik analog, reka bentuk litar dan kejuruteraan mekanikal, selain memperoleh pengalaman menggunakan teknologi berkaitan industri serta menerima bimbingan pakar dalam bidang semikonduktor.

Dalam perkembangan berkaitan, Swinburne Sarawak dan SMD turut bertukar perjanjian kerjasama bagi menyediakan perisian Automasi Reka Bentuk Elektronik (EDA) Synopsys untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta peneraju projek penyelidikan reka bentuk IC Swinburne Sarawak, Dr Lee Hui En, berkata akses kepada peralatan EDA bertaraf industri itu akan memperkukuh pengajaran dan penyelidikan dalam bidang reka bentuk IC analog.

“Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang memanfaatkan peralatan EDA bertaraf industri dalam pengajaran reka bentuk IC analog serta penyelidikan berkaitan.

“Akses kepada peralatan canggih ini meningkatkan keupayaan tenaga akademik dan pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dengan ketara, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti program serta standard akademik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, kerjasama itu turut memberikan peluang kepada penyelidik dan pelajar untuk memperoleh pendedahan kepada perisian reka bentuk IC bertaraf industri yang selaras dengan keperluan sebenar sektor semikonduktor.