BJNT 2026 perkukuh hubungan perdagangan, budaya Borneo-Jepun

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng (tengah) bergambar bersama penganjur dan peserta cosplay selepas sidang media pelancaran Ekspo Perdagangan Trend Baharu Borneo-Jepun 2026 (BJNT 2026) di Kuching, hari ini.

KUCHING: Ekspo Perdagangan Trend Baharu Borneo-Jepun 2026 (BJNT 2026) bakal menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan, budaya, teknologi dan komuniti antara Sarawak dan Jepun apabila berlangsung pada 15 hingga 16 Ogos ini di Hotel The Everly Lhesson Kuching.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, penganjuran julung kali itu mencerminkan komitmen Kuching dalam memperkukuh persahabatan antarabangsa bukan sahaja menerusi hubungan diplomatik, malah melalui perdagangan, budaya, kreativiti dan interaksi antara masyarakat.

Menurutnya, Jepun sejak sekian lama menjadi antara rakan ekonomi dan budaya penting Malaysia, manakala BJNT 2026 membuka lebih banyak peluang kepada usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penggiat seni serta bakat muda tempatan untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat dari Jepun.

“Ekspo ini bukan sekadar memberi manfaat kepada komuniti perniagaan, malah menawarkan pelbagai aktiviti kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, peminat teknologi, anime, cosplay dan budaya Jepun,” katanya ketika sidang media BJNT 2026 di Ibu Pejabat MBKS di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara tarikan utama ekspo itu ialah kemunculan khas bintang cosplay bertaraf antarabangsa, HAKKEN, yang juga Duta Pelancongan Tokyo, sekali gus dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung khususnya golongan belia.

Selain itu, katanya, BJNT 2026 turut menampilkan forum berkaitan animasi, kecerdasan buatan (AI), harta intelek dan industri kreatif bagi memberi inspirasi kepada usahawan muda serta bakat kreatif meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital.

Beliau berkata, ekspo berkenaan turut menyediakan sesi padanan perniagaan yang menghubungkan PKS Sarawak dengan syarikat Jepun serta rakan perniagaan serantau, selaras dengan aspirasi Sarawak membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi dan industri kreatif.

Sementara itu, BJNT 2026 yang dianjurkan oleh BrandSmith Sdn. Bhd. mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Business Events Sarawak dan MBKS.

Ekspo selama dua hari itu dijangka menghimpunkan jenama dari Jepun dan Sarawak menerusi empat komponen utama iaitu perdagangan, budaya, teknologi dan komuniti, selain menampilkan sesi padanan perniagaan, forum industri, pameran kebudayaan serta pelbagai aktiviti budaya pop Jepun.

Oleh Shahrul Qaizat